Luis Arce presiden baharu Bolivia


Luis Arce menang pilihan raya umum Bolivia 18 Oktober lalu.– Gambar AFP, 9 November, 2020.

LUIS Arce yang memenangi pilihan raya umum Bolivia 18 Oktober lalu, mengambil alih jawatan presiden baharu negara Amerika Selatan itu untuk tempoh lima tahun, lapor agensi berita Xinhua.

“Saya berdiri di hadapan anda dengan penuh rasa gembira tetapi juga memikul  tanggungjawab besar atas janji-janji yang dibuat semasa kempen dan saya komited untuk tunaikannya,” kata Arce, 57, dalam ucapan sulungnya sebagai ketua negara.

“Kami akan memerintah dengan aman damai dan bersatu padu,” tambah Arce, yang kemenangannya menyaksikan parti Movement Towards Socialism (MAS) kembali berkuasa.

Istiadat angkat sumpah bermula dengan ritual tradisi, di Plaza Murillo di La Paz, yang menempatkan pejabat eksekutif dan perundangan kerajaan.

Turut mengangkat sumpah jawatan, naib presiden David Choquehuanca.

Arce berkata akan meneruskan dasar ekonomi semasa era pemerintahan MAS dari 2006 hingga 2019, mempromosikan pembangunan di peringkat akar umbi, memperkasakan penawaran dan permintaan untuk mengaktifkan semula ekonomi. – Bernama, 9 November, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen