Semua sekolah ditutup hingga 20 Januari


Ravin Palanisamy

Langkah penutupan sekolah diambil bagi mengekang penularan wabak Covid-19 yang semakin meningkat.– Gambar fail The Malaysian Insight, 8 November, 2020.

SEKOLAH dan institusi pengajian tinggi bawah Kementerian Pendidikan akan ditutup dan hanya dibuka semula pada 20 Januari selepas pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat  (PKPB), kata Menteri Kanan Mohd Radzi Md Jidin.

Menurutnya, walaupun sekolah di Perlis, Pahang, Kelantan dan Sarawak tidak dikenakan PKPB ia tetap ditutup sebagai usaha untuk mengekang penularan pandemik Covid-19.

Beliau berkata sepanjang tempoh penutupan tersebut, pengajaran dan pembelajaran akan tetap diteruskan secara Home-based Learning mengikut kesesuaian guru dan murid.

“Semua sekolah termasuk Kolej Vokasional di bawah KPM di negeri-negeri terlibat akan ditutup bermula pada 9 November 2020 sehingga ke hari akhir persekolahan tahun ini iaitu pada 17 Disember 2020 bagi negeri Kumpulan A dan 18 Disember 2020 bagi negeri Kumpulan B.

KPM juga memutuskan semua sekolah di negeri Kelantan, Pahang, Perlis dan Sarawak akan turut ditutup bermula pada 9 November 2020 sehingga ke hari akhir persekolahan tahun ini iaitu pada 17 Disember 2020 bagi negeri Kumpulan A dan 18 Disember 2020 bagi negeri Kumpulan B.

Semalam Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob mengumumkan semua negeri di semenanjung kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan dikenakan PKPB bermula 9 November hingga 6 Disember.

Beliau berkata langkah terbaharu itu bagi mengawal pandemik Covid-19 dan orang awam tidak boleh lagi melakukan perjalanan rentas daerah dan negeri.

“Majlis Keselamatan Negara bersetuju untuk melaksanakan PKPB di semua negeri semenanjung kecuali tiga negeri, Perlis, Pahang dan Kelantan,” katanya.

Katanya berikutan perkembangan terbaharu itu, sekatan dikenakan di Kuala Lumpur, Selangor dan Wilayah Persekutuan juga akan bersambung selepas ia tamat pada Isnin.

Radzi berkata keputusan untuk menutup semua sekolah di seluruh negara kerana sekolah di kawasan yang dikenakan PKPB sahaja adalah 74 peratus daripada jumlah keseluruhan sekolah di bawah KPM.

“Penutupan ini melibatkan 74 peratus daripada jumlah keseluruhan sekolah di bawah KPM.

“Oleh yang demikian, KPM telah memutuskan bahawa semua sekolah di seluruh negara,” katanya.

Menurut menteri pendidikan semua murid sekolah rendah dan murid Tingkatan 1, Tingkatan 4, Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 serta semua murid Kolej Vokasional akan memulakan persekolahan secara bersemuka pada 20 Januari manakala murid Tingkatan 2 dan 3 mula sesi pembelajaran pada tarikh yang sama tetapi secara Home-based Learning.

Murid Tingkatan 2 dan Tingkatan 3 akan kembali ke sekolah untuk sesi pembelajaran bersemuka pada 8 Mac.

Selain itu Radzi berkata bagi murid yang tinggal di asrama pula, ibu bapa atau penjaga perlu mengambil mereka untuk pulang ke rumah masing-masing.

“Murid boleh terus kekal berada di asrama sementara menunggu untuk diambil oleh ibu bapa atau penjaga.

“Sepanjang tempoh tersebut, murid akan berada di bawah pengawasan warden asrama. Keperluan makan dan minum murid sepanjang tempoh tersebut akan disediakan oleh pihak sekolah,” katanya.

Radzi juga berkata pentadbir sekolah perlu memastikan guru dan murid melaksanakan pengajaran dan pembelajaran.

Katanya di sepanjang tempoh ini juga, guru perlu kekal berada di stesen tempat bertugas masing-masing. – 8 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen