PKPB seluruh semenanjung kecuali Kelantan, Perlis, Pahang bermula 9 Nov


Alfian Z.M. Tahir

Anggota polis dan tentera dikerah untuk mengadakan sekatan jalan raya bagi mengelakkan orang awam merentas daerah dan negeri sepanjang tempoh PKPB. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Mei, 2020.

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di seluruh negeri di semenanjung kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan selama 4 minggu bermula 9 November, kata Ismail Sabri Yaakob.

Langkah itu bagi membendung penularan Covid-19 memandangkan kadar jangkitan masih tinggi.

Beliau mengumumkan demikian dalam sidang media disiar langsung petang ini.

Ismail Sabri berkata penduduk di Perlis, Pahang dan Kelantan hanya boleh bergerak dalam negeri sendiri dan tidak boleh merentas sempadan.

“Ketiga-tiga negeri ini masih diletakkan di bawah Perintah Kawapan Pergerakan Pemulihan (PKPP) jadi mereka boleh bergerak antara daerah tetapi tidak boleh merentasi negeri,” katanya.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata Selangor, Putraja dan Kuala Lumpur akan juga menyambung PKPB apabila perintah itu berakhir pada 9 November.

“Ketiga-tiga negeri itu akan turut dikenakan perintah baharu sehingga 9 Disember,” katanya.

Di Sarawak, Ismail Sabri berkata orang awam masih boleh merentas daerah tetapi mereka dilarang untuk memasuki Kuching yang kini mempunyai banyak kes jangkitan.

Beliau juga berkata semua sekolah di negeri yang dikenakan PKPB perlu ditutup dan semua aktiviti luar dihadkan.

Bagaimanapun bagi upacara keagamaan, Ismail Sabri berkata perkara itu terserah kepada pentadbiran negeri.

“Sekolah ditutup, perniagaan boleh beroperasi tetapi dalam masa terhad. Begitu juga aktiviti luar.

“Bagi solat Jumaat, ia akan diuruskan oleh negeri masing-masing kerana perkara itu terletak di bawah kuasa Sultan,” katanya. – 7 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen