Perluaskan insentif cukai Penjana untuk pelabur sedia ada


Sementara itu, Pengerusi Bursa Malaysia Bhd Abdul Wahid Omar menyifatkan pelarasan Belanjawan 2021 dengan 17 Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2030 sebagai tindakan yang tepat pada masanya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 November, 2020.

INSENTIF cukai khas Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI) bagi syarikat memindahkan fasiliti pengeluaran ke Malaysia pada 2021 hingga 2022, wajar diperluas kepada pelabur sedia ada tertentu selain pelaburan domestik.

Pelabur terbabit adalah mereka yang telah mendapat kelulusan bagi tujuan pengembangan, pempelbagaian atau melaksanakan projek-projek baharu pada 2019, demikian menurut Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) sebagai mengulas Belanjawan 2021 yang dibentangkan semalam.

Dalam satu kenyataan hari ini, FMM menyifatkan kumpulan berkenaan sebagai pelaburan kaptif yang boleh dimanfaatkan terus bagi merealisasikan sasaran lebih pantas, terutamanya dari segi kesan pengganda terhadap pembekal sedia ada seperti Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Malah, ini turut membantu dari segi memastikan kejayaan projek yang dirancang.

“FMM turut menyambut baik usaha mewujudkan Pusat Perdagangan Global yang seiring dengan aliran semasa membabitkan pempelbagaian pasaran eksport dengan tumpuan utama bagi aktiviti pembuatan dengan nilai tambah. Kami berharap perinciannya termasuk syarat serta garis panduan berkaitan akan diumumkan tidak lama lagi,” katanya.

Menyentuh kemudahan perdagangan, FMM turut berterima kasih kepada kerajaan kerana mengusahakan kemudahan Operator Ekonomi Diperakui Kebangsaan (AEO) yang diperluas bagi menghubungkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dengan agensi kerajaan lain untuk melancarkan perdagangan rentas sempadan.

Sementara itu, Pengerusi Bursa Malaysia Bhd Abdul Wahid Omar menyifatkan pelarasan Belanjawan 2021 dengan 17 Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2030 sebagai tindakan yang tepat pada masanya.

“Ini termasuk komitmen untuk mewujudkan Hab Kewangan Mampan dan meletakkan Malaysia sebagai hab gaya hidup mampan. Terbitan Bon Mampan untuk membiayai projek mesra alam dan sosial pada 2021 juga adalah sesuatu yang ditunggu,” katanya.

Abdul Wahid berkata belanjawan bersifat pengembangan dan holistik berjumlah RM322.5 bilion itu juga bersesuaian dengan keutamaan semasa demi kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan daya tahan ekonomi. – Bernama, 7 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen