Langkah cegah Covid-19 di Parlimen sudah diambil, kata KP Kesihatan


Noel Achariam

SEMUA langkah pencegahan untuk memastikan bangunan Parlimen bebas Covid-19 sudah dibuat, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, hari ini.

Walaupun begitu, masih wujud kebimbangan kerana kehadiran ahli Parlimen dari seluruh negara yang berkumpul di sana.

“Kebimbangan kami adalah ahli Parlimen datang dari seluruh negara. Walaupun kami sudah melakukan saringan, mereka masih terdedah kepada masyarakat di luar sana.

“Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya di bawah PKPB. Jadi, mungkin mereka akan terdedah kepada kes positif di luar sana (luar Parlimen),” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Awal hari ini, Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun mengumumkan yang hanya 80 ahli Parlimen dibenar masuk esok pada pembentangan Belanjawan 2021 bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Selain itu, sidang juga akan berlangsung bermula jam 9 pagi hingga 2 petang.

Daripada jumlah itu, 41 ahli Parlimen adalah daripada pihak kerajaan manakala 39 lagi daripada pembangkang dan Bebas, kata Azhar.

Notis pemasyhuran yang dibacakan Timbalannya Rashid Hasnon menyebut ia merupakan langkah mengekang penularan pandemik Covid-19 di bangunan Parlimen.

“Penentuan ahli Yang Berhormat yang boleh berada dalam Dewan akan ditetapkan oleh parti masing-masing,” kata Rashid.

Tambah Dr Noor Hisham lagi, semua kakitangan Parlimen dan wakil rakyat juga sudah menjalani saringan tiga hari sebelum Parlimen bersidang.

“Kami sentiasa tambah baik dan ambil langkah pencegahan.

“Walaupun ada prosedur operasi standard kita masih boleh tambah baik langkah yang diambil.”

Jelasnya, KKM juga sudah mencadangkan ujian saringan dua minggu sekali bagi memastikan tiada kes di Parlimen.

“Ujian itu bukan hanya untuk ahli Parlimen tetapi juga semua orang yang pergi ke Parlimen.” – 5 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen