Kumpulan sivil kesal tindakan Perikatan sekat kebebasan bersuara


Ravin Palanisamy Hailey Chung Wee Kye

Ahli Parlimen Parit Buntar, Mujahid Yusof Rawa diiringi peguamnya, Noorazmir Zakaria bercakap kepada media di Bukit Aman, Kuala Lumpur selepas memberikan kenyataan kepada polis pada 2 November lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 November, 2020.

SIASATAN pihak polis baru-baru ini terhadap individu yang mengkritik kerajaan atau didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong mengejutkan kumpulan masyarakat sivil yang berkata Putrajaya menunjukkan sikap tertutupnya terhadap pendapat masyarakat.

Demokrasi yang teguh dan berkembang amat bergantung kepada kesedaran terhadap hak asasi manusia dan kebebasan, khususnya kebebasan berucap dan bersuara, kata mereka.

“Hak kebebasan bersuara berkurangan secara dramatik. Ruang untuk menyuarakan pendapat di bawah pemerintahan Perikatan Nasional (PN) semakin berkurangan,” kata Nalini Elumalai, pegawai Program Artikel 19 Malaysia.

Artikel 19, sebuah organisasi hak asasi manusia global, mendesak Putrajaya menarik semula siasatan berdasarkan undang-undang yang menindas dan melindungi kebebasan bersuara sebagaimana dijamin di bawah Artikel 10 (a) Perlembagaan Persekutuan.

“Terdapat beberapa undang-undang bermasalah yang terus digunakan untuk mendiamkan pengkritik oleh pelbagai pentadbiran berbeza.

“PN tiada beza tetapi menambah sekatan tambahan berhubung penghinaan terhadap pegawai kerajaan di bawah pentadbiran.”

Nalini berkata orang awam sebagai pembayar cukai, berhak untuk memberi komen, mempersoalkan dan mengkritik pegawai awam bagi memastikan mereka bertanggungjawab di atas segala tindakan.

“Ketua negeri dan pegawai awam harus lebih banyak bertolak ansur dengan kritikan berbanding rakyat biasa,” kata Nalini.

Naib Presiden Mahasiswa Keadilan Malaysia, Dharshinee Suresh Kumar juga berkata, “Proses pemberian pendapat yang sahih dan munasabah mengenai kerja orang lain biasanya melibatkan komen positif dan negatif.

“Jika kritikan terhadap kerajaan tidak dapat diterima, saya percaya tidak akan ada situasi semak dan imbang.”

Dharshinee merujuk kepada siasatan terhadap Lokman Noor Adam daripada Umno yang ditangkap pada 1 November kerana didakwa mengancam Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam sebuah video yang disiarkannya di Facebook.

Lokman mendakwa Muhyiddin tidak senang dengan keputusan Agong menolak cadangannya untuk mengisytiharkan darurat.

Dharshinee berkata jika tindakan polis diambil terhadap seseorang seperti Lokman, sebahagian daripada Umno yang merupakan parti pemerintah, bayangkan berapa ramai rakyat biasa yang terdedah kepada penindasan kerajaan.

Lokman, yang dibebaskan dengan jaminan polis, disiasat di bawah tiga undang-undang: Seksyen 506 Kanun Keseksaan atas kesalahan menakutkan secara jenayah, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan rangkaian dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan kecil kerana menggunakan perkataan yang kurang sopan.

Individu lain yang disiasat adalah Ahli Parlimen Parit Buntar, Mujahid Yusof Rawa dan juga Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang turut memberi komen mengenai keputusan Agong awal tahun ini kerana melantik Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Mereka mempersoalkan mengapa komen yang dibuat dalam ucapan pada Mac baharu sekarang disiasat.

Baru-baru ini Adun DAP, Ronnie Liu juga dipanggil untuk memberi kenyataan kepada polis berhubung catatannya di Facebook mengenai tunjuk perasaan antikerajaan dan antimonarki di Thailand. 

Hantarannya itu didakwa sebagai sentimen hasutan terhadap Agong, walaupun topik yang berkenaan melibatkan Thailand.

Pusat Jurnalisme Bebas (CIJ) mempersoalkan tindakan yang berlaku, mendesak polis menunjukkan apa yang dianggap menghasut atau menyinggung perasaan dalam kenyataan atau catatan yang membenarkan perlunya siasatan jenayah.

“Kami menuntut agar Bukit Aman menunjukkan apakah tindakan mereka bersekadar, perlu dan sah.

“Dalam keadaan apa ia memenuhi syarat yang membenarkan siasatan jenayah,” kata Pengarah Eksekutif CIJ, Wathshlah G. Naidu.

CIJ berkata Akta Hasutan dan Seksyen 233 CMA adalah undang-undang yang boleh disalahgunakan dengan mudah untuk mendiamkan perbezaan pendapat.

“Selalunya tangkapan di bawah tindakan yang disebut tidak memenuhi kriteria ancaman terhadap ketenteraman awam atau keselamatan negara,” katanya, mendesak kerajaan segera menghentikan siasatan terhadap kes seperti ini.

“Laksanakan moratorium penggunaan undang-undang penindasan seperti Akta Hasutan dan Seksyen 233 CMA sehingga undang-undang tersebut ditarik atau dipinda.

“Beri komitmen pada garis waktu yang jelas dan pelan tindakan berkaitan untuk meratifikasi perjanjian hak asasi manusia antarabangsa, khususnya Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak-Hak Sivil dan Politik (ICCPR).” – 6 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen