Lokman Adam direman sehari berkait ugutan jenayah


Polis telah memulakan siasatan ke atas video yang telah dimuat naik oleh Lokman Noor Adam kerana mempunyai unsur ugutan jenayah dan menggunakan perkataan jelik terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.– Gambar fail The Malaysian Insight, 2 November, 2020.

BEKAS ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam direman sehari berhubung satu video disyaki mempunyai unsur ugutan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, kata polis.

“Pada 1 November, siasatan telah dimulakan ke atas sebuah video yang telah dimuat naik oleh pemilik akaun Lokman Noor Adam kerana mempunyai unsur ugutan jenayah dan menggunakan perkataan jelik terhadap kepimpinan Yang Amat Berhormat perdana menteri,” kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Huzir Mohamed dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Huzir, Lokman disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan atas kesalahan menakutkan secara jenayah, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan rangkaian dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan kecil kerana menggunakan perkataan yang kurang sopan.

“Tangkapan ke atas suspek telah dibuat pada 1 November lebih kurang 11 malam, dan gajet dipercayai digunakan untuk memuat naik video yang tular tersebut turut dirampas.

“Permohonan reman ke atas suspek telah dibuat dan dibenarkan selama satu hari. Siasatan lanjut masih diteruskan,” tambah beliau.

Sejak beberapa hari lalu, Lokman kerap mengadakan siaran langsung video di Facebook dan memberikan pandangan mengenai pelbagai isu semasa, antaranya permohonan pengisytiharan darurat oleh kerajaan.

Beliau malam tadi menyentuh soal Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Jumaat ini. Sesi itu beliau beri tajuk: ‘Setiap MP bakal disogok RM3 juta peruntukan jika Bajet 2021 diluluskan? Biar Betul?”

Pada Oktober tahun lalu, Lokman didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam atas tuduhan mengeluarkan kenyataan mengapi-apikan orang awam untuk melakukan sesuatu kesalahan. Beliau mengaku tidak bersalah. – 2 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen