Antara Malaysia dan Singapura, cinta terhalang di tambak


Angie Tan

Ramai rakyat Malaysia sudah berbulan-bulan terpisah daripada insan tersayang akibat sekatan perjalanan susulan Covid-19 tetapi terpaksa bersabar demi mencari nafkah untuk keluarga. – Gambar AFP, 4 November, 2020.

JARAKNYA tidak jauh dari Tambak Johor, namun rumah dan insan tersayang nampak begitu jauh bagi rakyat Malaysia yang mempunyai taraf penduduk tetap (PR) di Singapura.

Mereka merasai keperitan perpisahan disebabkan sekatan sempadan kerana pandemik Covid-19 yang hanya membenarkan pengembara tertentu melintasi sempadan di bawah Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA).

Mereka ingin menziarahi insan dikasihi di Malaysia, tetapi masa diperlukan untuk memenuhi syarat kuarantin menyukarkan urusan dan juga komitmen kerja.

Wendy Chan Lay Ping, 43, berkata kepada The Malaysian Insight, tidak berkesempatan memberi penghormatan terakhir kepada bapanya yang meninggal dunia tiga minggu lalu, menyebabkannya berasa sangat terkilan.

Pemegang PR Singapura perlu menjalani kuarantin selama 14 hari selepas masuk ke Malaysia, dan ia akan menyebabkan beliau terlepas upacara pengebumian ayahnya.

Syarat tujuh hari kuarantin bagi yang kembali ke Singapura akan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 21 hari dikuarantin, tempoh yang turut juga menjejaskan pekerjaannya.

Chan, yang berada dalam bidang perubatan dan bekerja selama 10 tahun di Singapura, selama ini berulang-alik ke Singapura dari Johor Baru setiap hari.

Disebabkan masalah kesihatan, beliau dan suami berpindah ke republik itu tahun lalu, meninggalkan anak perempuan mereka yang berusia 10 tahun bersama pengasuh.

“Kami melawat anak seminggu sekali. Tetapi sudah tujuh bulan sejak kali terakhir kami bertemunya. Beliau sering menangis kerana merindui ibu bapanya. Malah guru di sekolah mendesak kami menemuinya.

“Kami menelefonnya setiap malam dan setiap kali selepas berbual dengannya, saya akan menangis.”

Sehingga sampai pada satu tahap, Chan berfikir untuk berhenti bekerja di Singapura dan pulang ke Malaysia.

“Saya memujuk anak yang saya akan segera pulang. Jadi, jika keadaan tidak berubah, saya akan berhenti kerja pada Januari 2021 dan tinggal di rumah bersama anak perempuan saya.

“Berhenti kerja sudah pasti akan mempengaruhi kewangan keluarga kami, tetapi bila memikirkannya, lebih baik saya bersama anak. Saya akan mengurangkan perbelanjaan,” kata Chan.

Michelle Ng Mei See, 31, tinggal bersama tiga anaknya yang berusia 8, 4 dan 3 tahun, di Johor Baru, sementara suaminya bekerja di Singapura.

Keluarga itu berpisah sejak Mac ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan di Malaysia.

“Suami saya bekerja sebagai pengurus projek di Singapura. Beliau bekerja lebih 10 tahun dan memegang PR.

“Sebagai pemegang PR, beliau tidak memenuhi syarat untuk skim perjalanan PCA. Beliau harus dikuarantin selama 14 hari selepas memasuki Malaysia.”

Tambak Johor yang menghubungkan Malaysia dan Singapura menjadi pemisah kepada rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura berikutan pandemik Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 November, 2020.

Baru-baru ini beliau memohon cuti tanpa gaji dan kembali ke Malaysia, menyempurnakan tempoh kuarantin, untuk bertemu keluarga kerana anak-anak sudah tidak dapat dipujuk lagi.

“Anak-anak selalu menangis dan bertanya mengapa ayah mereka selalu bekerja, dan mengapa tidak balik. Saya sangat letih menjaga mereka sendirian,” kata Ng.

Selepas bersatu kembali dengan keluarga, Ng berkata suaminya memikirkan semula rancangannya untuk bekerja selepas PKP pemulihan yang kini dilaksanakan di seluruh negara hingga 31 Disember kecuali kawasan PKP bersyarat dan diperketatkan.

“Kami berharap kerajaan memasukkan pemegang PR dalam skim perjalanan PCA,” tambahnya.

Adun Stulang, Andrew Chen Kah Eng berkata beliau menyaksikan banyak keluarga bersatu kembali dengan keluarga kerana tidak sangguh lagi berjauhan atau mereka yang mempunyai isu keluarga seperti penjagaan anak.

Beliau berkata salah satu kisah yang tidak dapat dilupakannya apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun menangis apabila ibu bapanya mengambil daripada penjaga. Kanak-kanak itu tidak kenal ibu bapanya sendiri dan menganggap mereka sebagai orang lain.

“Ibu bapa berkenaan sangat sedih dan memerlukan masa yang lama untuk menenangkan bayi mereka.

“Dalam kes lain, terdapat datuk dan nenek dalam sebuah keluarga yang tidak dapat lagi menjaga cucu dan menghantar mereka kembali kepada ibu bapa di Singapura.

“Adegan di sempadan apabila datuk dan nenek mengucapkan selamat tinggal kepada cucu mereka sangat menyedihkan. Cucu memanggil datuk dan nenek, sementara datuk dan nenek menjerit nama cucu-cucunya.

“Ini seperti adegan perpisahan dalam filem mengenai Korea Utara dan Selatan, tetapi saya tidak pernah menjangka ia akan berlaku antara Malaysia dan Singapura.”

Chen berkata pemegang PR Singapura dari Malaysia perlu dibenarkan melintas sempadan di bawah PCA, yang pada masa ini hanya untuk pemegang pas kerja.

Sementara itu, RGL hanya untuk perjalanan jangka pendek sehingga 14 hari bagi tujuan perniagaan rasmi dan penting sahaja.

“Dasar semasa PCA tidak termasuk pemegang PR, dan itu tidak adil kepada mereka,” katanya. – 4 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen