Macau Scam guna rasa takut, bimbang mangsa


The Malaysian Insight

Polis dan kedutaan seluruh dunia guna pelbagai saluran untuk meningkatkan kesedaran penipuan dalam talian tetapi kes terus bertambah saban tahun. – Gambar EPA, 3 November, 2020.

MENGGUNAKAN ayat memujuk dan cerita menyakinkan, sindiket penipuan boleh memperdaya mangsa untuk memindahkan ratusan ribu ringgit secara rela tanpa menyedari mereka sudah tertipu.

Sejak beberapa tahun lepas, polis dan kedutaan seluruh dunia menggunakan pelbagai saluran untuk mengingatkan orang ramai tentang penipuan dalam talian. Tetapi, masih ramai yang terus dijerat sindiket penipuan itu.

Bulan lepas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan satu sindiket apabila berjaya menahan 20 anggota sindiket Macau, termasuk lapan anggota polis yang menutup mata tidak bertindak ke atas sindiket itu walaupun menyedari kewujudannya.

Siasatan polis juga mendapati ramai selebriti terkenal tanah air terlibat dalam sindiket penipuan itu.

Penahanan dan drama yang berlaku dalam kes itu, termasuk tindakan seorang suspek yang melarikan diri serta kekurangan pendakwaan terus menjadi tumpuan seluruh negara.

Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong dijadualkan bertanya kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di persidangan Dewan Rakyat tentang tindakan kerajaan ke atas jenayah penipuan ini.

Salah seorang mangsa penipuan yang bercakap dengan The Malaysian Insight, Chan, lelaki berusia 58 tahun dari Kuantan, Pahang hilang semua simpanannya berjumlah RM150,000 kepada sindiket yang menyamar sebagai anggota polis dari Bukit Aman pada 2018.

Sindiket penipuan yang dilumpuhkan polis baru-baru ini memperlihatkan ketamakan sindiket yang tidak peduli siapa mangsa mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 November, 2020.

Anggota sindiket itu pada mulanya menelefon Chan untuk memaklumkan yang beliau melanggar undang-undang kerana membeli pil tidur dan terlibat dalam skim pengubahan wang haram dan dipanggil ke mahkamah.

Chan diminta untuk memindahkan wang simpannya ke akaun bank berlainan untuk mengelak wangnya dibekukan pihak berkuasa. Beliau diperdaya anggota sindiket itu yang kononnya wang itu akan dipulangkan kepadanya semula apabila siasatan polis selesai.

“Saya keluarkan kira-kira RM150,000 daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk baiki rumah. Saya beritahu pemanggil yang saya tidak ada duit, tetapi kemudiannya saman mahkamah dihantar ke alamat rumah saya.

“Saya sangat bimbang sampai tidak boleh makan atau tidur. Saya duduk seorang. Saya beritahu kawan-kawan apa yang berlaku tetapi mereka ingat saya bergurau.”

 

Tidak sampai sebulan, ditipu RM150,000

“Tidak lama selepas itu, saya terima satu lagi panggilan. Bahasa Melayu saya tak fasih, jadi orang itu mengadu yang dia tidak faham.

“Kemudian dia cakap saya dalam Kantonis. Orang itu telefon saya selang sehari dan beritahu saya perlu selesaikannya, yang saya perlu beri duit saya untuk selesaikan kes mahkamah.

“Kosnya RM20,000 dan kadang-kadang RM30,000. Kira-kira 10 transaksi dalam tempoh kurang sebulan, saya bayar RM150,000 dan simpanan saya semua lesap,” kata Chan.

Beliau kemudiannya menghubungi anak saudaranya di Kuala Lumpur dan menunjukkan saman mahkamah dan diberitahu ia adalah saman palsu.

“Anak saudara saya kata dokumen itu semua palsu.

“Anak saudara saya kemudian bawa saya jumpa Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA (PSCD) Michael Chong untuk tolong. Ketika itu, Chong memarahi saya.

“Chong kata polis tidak akan telefon sesiapa untuk beritahu mereka buat salah. Jika betul mereka buat salah, polis akan tangkap. Saya tak tahu sebab saya tak pernah alami situasi sebegini.

“Selepas dua hari, saya ke balai polis sebaik sampai di Kuantan, dan orang itu tak pernah telefon saya lagi.”

Tambah Chan, penipuan itu menyebabkan beliau rasa tidak berdaya dan kesal.

“Saya kerja balik dan jadi juruteknik di sebuah kilang lebih setengah tahun.

“Ketika itu, saya sangat tertekan. Saya persoalkan diri sendiri mengapa saya percaya orang itu? Saya tak pernah jangka perkara itu akan berlaku kepada saya,” katanya.

 

Penipuan pinjaman

Bagi seorang lagi mangsa, rasa terdesak mendapatkan pinjaman bank untuk perniagaannya menyebabkan beliau memilih cara lain yang pantas dan mudah.

Peter, 55, berkata beliau terjumpa satu iklan pinjaman di Facebook dan memutuskan untuk bertanya mengenainya.

“Saya telefon syarikat itu dan mereka berikan saya dokumen dan borang yang serupa seperti borang am pinjaman bank. Jadi, saya tak syak apa-apa dan isi borang berserta bayaran deposit RM500.

“Tidak lama selepas itu, saya terima panggilan yang saya disenarai hitam bank dan perlu bayar RM3,000 untuk bersihkan nama. Saya bayar. Tidak lama selepas itu, saya terima panggilan yang pinjaman itu diluluskan dan saya perlu bayar RM3,000 lagi sebagai upah.

“Mereka tunjuk gambar cek untuk pinjaman RM30,000 dan beritahu saya perlu bayar 10% komisyen sebelum dapat cek itu, Ia kerana syarikat itu tolong saya uruskan dokumen bank.

“Jadi, saya bayar komisyen itu. Proses itu ambil masa satu hingga dua bulan dan keseluruhannya saya beri RM12,000,” kata Peter.

Peter kemudiannya menyedari beliau ditipu dan meminta bantuan Ketua Biro Perkhidmatan dan Aduan Awam Gerakan Henry Teoh.

Teoh kemudiannya menyiasat syarikat itu dan mendapati ia tidak pernah wujud dan berdaftar.

Timbalan Pengarah (Jenayah Siber dan Multimedia) Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman SAC Victor Sanjos berkata sindiket penipuan dalam talian selalunya menggunakan empat cara untuk menipu mangsa.

“Cara yang digunakan adalah dengan menawarkan cabutan bertuah, menyamar sebagai pegawai polis atau penjawat awam, menyamar sebagai pegawai Bank Negara dan juga meminta wang tebusan dalam kes penculikan,” katanya kepada The Malaysian Insight. – 3 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen