Masih ada jalan lain selain keluar duit KWSP


DALAM mengharungi situasi yang tidak pernah terjadi sebelum ini, polisi negara tidak boleh dirancang dalam keadaan yang panik, seperti kebenaran untuk pengeluaran daripada akaun 1 KWSP.

Sebaliknya, rancangan yang amat teliti harus dibuat bagi menyalurkan bantuan kepada rakyat yang benar-benar memerlukan dan ini juga penting untuk mengelakkan pembaziran oleh mereka yang mempunyai literasi pengurusan kewangan yang lemah.

Media melaporkan Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan bekas Perdana Menteri Najib Razak telah meminta kerajaan supaya mempertimbangkan cadangan pengeluaran wang simpanan oleh pencarum KWSP daripada Akaun 1 sekurang-kurangnya RM5,000 atau maksimum RM10,000 sekali gus.

Dr Asyraf Wajdi menambah bahawa aliran tunai berjumlah RM40 billion akan tersedia sekiranya 4 juta pencarum KWSP dibenarkan untuk mengeluarkan RM10,000 seorang.

Namun, dari perspektif KWSP, pengeluaran tersebut juga bermaksud dana KWSP bernilai RM40 bilion yang sepatutnya dijadikan wang simpanan para pekerja akan hilang.

Walaupun cadangan ini nampak menyenangkan bagi pencarum kerana mereka boleh mendapatkan wang tunai segera, pengeluaran wang simpanan akan menjejaskan aliran tunai KWSP yang diuruskan bagi kegunaan pencarum pada masa hadapan melalui aktiviti pelaburan.

Jika para pencarum dibenarkan untuk melaksanakan pengeluaran ‘one-off’ berjumlah RM10,000 daripada Akaun 1 mereka, ia akan menyukarkan pihak kerajaan untuk terus menjana pendapatan negara, menampung perbelanjaan untuk rakyat dan meningkatkan wang simpanan untuk persaraan rakyat.

Hal ini perlu difikirkan secara kritis kerana krisis yang tidak pernah terjadi ini memerlukan kerajaan untuk mengambil langkah-langkah rangsangan yang tidak pernah diambil sebelum ini.

Walaupun jumlah kutipan caruman bulanan KWSP untuk tahun ini belum dikeluarkan, pengeluaran wang simpanan bernilai RM40 bilion adalah jumlah yang besar dan seperti yang dinyatakan oleh CEO KWSP Alizakri, akses kepada Akaun 2 KWSP melalui i-Lestari telah membawa kepada pengeluaran wang simpanan lebih daripada RM11 bilion disalurkan kepada lebih daripada 4.7 juta pencarum sejak April tahun ini.

Selain itu, kadar caruman minimum KWSP juga telah diturunkan kepada 7 peratus daripada 11 peratus, berkuatkuasa mulai 1 April tahun ini.

Wang simpanan KWSP diciptakan untuk kegunaan pencarum pada masa depan. Pengeluaran jumlah yang besar daripada Akaun 1 akan melemahkan jaringan keselamatan yang diperlukan untuk menangani perbelanjaan jangka masa terdekat yang berkaitan dengan Covid-19 dan boleh membawa kepada masalah yang lebih besar kerana kadar penuaan di Malaysia semakin meningkat.

Pihak kerajaan sudah membuat perancangan vaksin untuk mengubati jangkitan wabak Covid-19 yang akan dibentangkan dalam Bajet 2021.

Kejayaan pelan vaksinasi negara dijangka akan memudahkan proses pemulihan ekonomi negara.

Wang simpanan persaraan merupakan jaringan keselamatan jangka masa panjang yang tidak patut dijadikan sebagai jalan penyelesaian sementara.

Namun, rakyat yang sudah kehilangan pekerjaan dan tidak mempunyai sumber pendapatan yang lain mungkin tidak ada pilihan lain selain bergantung kepada wang simpanan KWSP.

Oleh itu, kebenaran untuk pengeluaran wang simpanan KWSP harus dihadkan hanya kepada individu yang dapat membuktikan bahawa mereka telah kehilangan pekerjaan atau mereka mengalami kekurangan dalam pendapatan yang banyak.

Seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Operasi KWSP Mohd Naim Daruwish, sekitar 54 peratus daripada pencarum KWSP yang berusia 54 tahun mempunyai wang simpanan kurang daripada RM50,000 untuk persaraan.

Katakan sebilangan daripada pencarum yang mempunyai simpanan berjumlah RM49,000 memilih untuk mengeluarkan RM10,000 sekali gus, baki simpanan mereka hanya akan tinggal RM39,000 untuk tahun-tahun yang akan datang.

Pelaksanaan pengeluaran simpanan Akaun 1 harus dikira sebagai langkah sementara, dan diterhadkan mengikut kumpulan umur pencarum.

KWSP boleh mempertimbangkan pengeluaran wang simpanan secara berperingkat selama 6 bulan bagi pencarum yang berusia 40 tahun ke atas dan jumlah pengeluaran tidak boleh melebihi 20 peratus daripada jumlah simpanan.

Bagi mereka yang berumur di bawah 40 tahun, had yang lebih tinggi boleh ditetapkan pada 30 peratus daripada jumlah simpanan.

Had dalam pengeluaran penting kerana sebilangan pencarum mungkin tidak mempunyai kemahiran yang cukup dalam perancangan kewangan, dan situasi ini hanya akan membahayakan masa depan mereka.

Di samping itu, terdapat alternatif lain bagi selain pengeluaran wang simpanan daripada Akaun 1.

Seperti yang telah dinyatakan, kerajaan telah menyalurkan bantuan melalui KWSP untuk program i-Lestari dengan membenarkan pemilik akaun KWSP untuk membuat pengeluaran bulanan antara RM50 hingga RM500 dari Akaun 2, bergantung kepada dana yang ada dalam akaun pemilik.

Sejak pandemik Covid-19 melanda, kerajaan telah memberikan bantuan kewangan secara langsung kepada rakyat dan para peniaga melalui pelbagai inisiatif seperti pakej Prihatin, Prihatin SME+, Penjana, dan Kita Prihatin.

Alizakri menyatakan bahawa inisiatif kerajaan yang disalurkan kepada rakyat terutamanya golongan B40 dan M40 sudah mencecah RM55 bilion.

Kerajaan telah menunjukkan sikap prihatin terhadap keperluan rakyat sejak awal lagi dan pihak kerajaan akan terus membantu selagi berkemampuan.

Alizakri juga menegaskan bahawa pegawai Khidmat Nasihat Persaraan KWSP akan membantu pemilik akaun untuk membuat perancangan kewangan yang diperlukan dalam mengharungi cabaran pada masa ini.

Sehingga kini, kerajaan telah memberikan bantuan kewangan kepada rakyat melalui pembayaran Bantuan Prihatin Nasional.

Perdana Menteri Muhyiddin berkata sukar bagi kerajaan untuk membenarkan pengeluaran wang simpanan Akaun 1 kerana kerajaan telah mengeluarkan dana berbilion ringgit untuk mengurangkan beban rakyat.

Muhyiddin juga telah memberi jaminan bahawa lebih banyak bantuan akan diberikan di mana dana berbilion ringgit dijangka akan disalurkan kepada rakyat.

Oleh itu, rakyat disarankan untuk memanfaatkan insentif yang sedia ada dengan sepenuhnya dan tahap kesedaran tentang insentif kerajaan juga harus ditingkatkan.

Belanjawan 2021 perlu diteliti dahulu, dan penilaian terhadap pasca-Covid perlu dilakukan secara mendalam dan rasional sebelum mengambil tindakan drastik yang akan mengancam jaringan keselamatan sosial rakyat pada masa depan.

* Ameen Kamal dan Sofea Azahar, penyelidik EMIR Research.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen