Presiden Ivory Coast gesa elakkan keganasan pilihan raya 


Presiden Ivory Coast Alassane Outtara turut menggesa golongan muda agar tidak membiarkan mereka dimanipulasi oleh pembangkang.– Gambar EPA, 1 November, 2020.

PRESIDEN Ivory Coast Alassane Outtara menggesa parti pembangkang untuk menghentikan kempen bantahan umum pada pilihan raya ketika beliau bertanding untuk penggal ketiga yang disifatkan pengkritik sebagai tidak berperlembagaan.

Sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh dalam keganasan menjelang pilihan raya sejak Ogos lalu, sekaligus mencetuskan kebimbangan keganasan yang mengorbankan lebih 3,000 nyawa akan kembali sebagaimana yang berlaku sedekad lalu ketika presiden ketika itu Laurent Gbagbo enggan meletakkan jawatan.

Bekas pakar ekonomi IMF itu memegang jawatan sejak 2010, kini berdepan dengan pemimpin pembangkang veteran Henri Konan Bedie.

Keputusan Ouattara untuk bertanding lagi mencetuskan kemarahan pemimpin pembangkang yang menggesa agar rakyat boikot dan membuat bantahan umum pilihan raya berkenaan.

“Saya merayu kepada mereka yang melancarkan bantahan umum ini yang menyebabkan kematian agar berhenti. Ivory Coast perlukan keamanan,” kata Ouattara selepas mengundi di Abidjan.

“Saya menggesa anak muda agar tidak biarkan diri dimanipulasi.”

Abidjan masih dalam keadaan tenang namun penunjuk perasaan bertindak menyekat laluan utama ke utara berhampiran bandar Djebonoua, 330 kilometer dar ibu negara, kata penduduk tempatan.

Sekumpulan pemuda turut membuat sekatan di beberapa kejiranan dan sekitar Daoukro yang merupakan kubu kuat pemimpin pembangkang Bedie, kata koresponden AFP di lokasi berkenaan. – AFP, 1 November, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen