Akar umbi PKR terima Umno jika tolak rasuah dan sokong reformasi


Zaim Ibrahim

Akar umbi PKR berpendapat Umno juga perlu menghapus segala bentuk rasuah sekiranya mahu menjalin hubungan tersebut. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Oktober, 2020.

AKAR umbi PKR menyokong usaha kerjasama dengan Umno untuk mendapatkan semula mandat namun menolak sebarang hubungan dengan pemimpin yang dibicarakan di mahkamah.

Pada masa sama pemimpin ini juga menuntut Umno menyokong agenda reformasi seandainya benar-benar bersetuju presiden mereka Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri

Ketua Pemuda PKR Hulu Langat, Muhammad Hanafi Jamaluddin berpendapat, Umno juga perlu menghapus segala bentuk rasuah sekiranya mahu menjalin hubungan tersebut.

Namun pada masa ini, beliau melihat kerjasama tersebut hanya dapat dijalankan untuk tempoh sementara untuk menangani pandemik Covid-19 sahaja, katanya kepada The Malaysian Insight.

Ini memandangkan kerajaan bawah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berdepan krisis dan tidak mampu mengurus bencana itu sehingga sanggup berusaha mengisytiharkan darurat, katanya.

“Untuk bergabung dengan Umno, perkara ini patut diperhalusi dengan lebih mendalam sebab keadaan sekarang, kita hendak selamatkan negara dan kita perlukan sokongan mereka.

Seperti titah Yang di-Pertuan Agong, buat masa ini kita perlu ketepikan isu politik dan selamatkan negara, mungkin kita boleh kerjasama dalam tempoh sementara demi negara,” katanya.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berdepan krisis dan tidak mampu mengurus bencana itu sehingga sanggup berusaha mengisytiharkan darurat, kata akar umbi PKR. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Oktober, 2020.

Sikap sama ditunjukkan ahli PKR cabang Bukit Mertajam, Hafiz Hassan yang menegaskan PKR perlu bersikap “memilih” untuk menerima sokongan Umno dalam membentuk majoriti kerajaan.

Jelasnya, hanya wakil rakyat yang bebas rasuah sahaja patut dipertimbangkan untuk bersama-sama dengan PKR untuk mengambil alih kerajaan.

“Jika PKR memilih ahli parlimen yang bebas daripada isu korupsi tiada salahnya untuk bersama-sama membangunkan negara, sebab mereka juga boleh menyokong agenda reformasi,” kata beliau.

Kes dihadapi pemimpin Umno di mahkamah pula tidak harus digugurkan dengan mudah sekiranya PKR berjaya menguasai kerajaan semula hasil sokongan parti tersebut, katanya ketika ditanya.

“Sokong atau tidak, itu hak individu, kita tiada kuasa untuk menghalang.

“Tetapi, janganlah pula apabila menyokong dan menjadi sebahagian dalam kerajaan, kes mereka di mahkamah pula digugurkan,” tambahnya.

Timbalan Ketua Pemuda PKR Pulau Pinang, Muhammad Adzlan Adzhar juga menerima kerjasama dengan Umno namun berpendapat ia perlu dihadkan sehingga pilihan raya umum akan datang.

“Saya sangat bersetuju kita mendapat sokongan daripada Umno atas dasar kepentingan rakyat,  tetapi kita harus tahu jika ada isu kezaliman ataupun salah laku barisan pemimpin Umno… ia mesti diteruskan di mahkamah.

“Apabila tiba waktu PRU15, kita perlu berdiri di atas kaki sendiri untuk pertahankan mandat rakyat. Waktu itu, saya rasa tidak perlu lagi kita perlukan sokongan Umno,” jelasnya.

Mereka mengulas perkembangan minggu ini selepas Anwar pengumuman Anwar pada 23 September yang mendakwa beliau mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Sebulan kemudian pada 23 Oktober, Muhyiddin yang sedang berdepan asakan daripada Umno menghadap baginda untuk memohon perisytiharan darurat bagi menggantung sidang parlimen.

Anggota Kabinet beliau pada waktu itu mendakwa ia untuk mengelakkan pilihan raya diadakan sewaktu pandemik namun penganalis dan pembangkang percaya ia hanya helah untuk mengelak undi tidak percaya di parlimen.

Selepas berunding dengan Raja-Raja Melayu, baginda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengumumkan menolak permohonan perisytiharan darurat dan menitahkan semua ahli politik menghentikan perbalahan.

Baginda juga pada Ahad menitahkan agar ahli politik berkenaan bekerjasama untuk menangani pandemik serta memastikan Belanjawan 2021 diluluskan bagi tujuan itu.

Titah baginda supaya bekerjasama itu diterima dengan pandangan bercampur-campur dari kalangan pemimpin politik yang masih enggan bekerjasama dengan pemimpin dan parti tertentu.

Dalam satu lagi kenyataan semalam, baginda secara khusus menitahkan agar semua ahli parlimen menyokong pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November.

Kenyataan itu timbul apabila dakwaan bahawa Anwar sememangnya menguasai majoriti untuk mengambil alih kerajaan dibuktikan melalui kenyataan beberapa pemimpin Umno.

Pada asalnya, Anwar hanya mendakwa seramai 120 menyokong beliau untuk mengambil alih teraju negara dari Muhyiddin.

Seterusnya, muncul pula surat bertarikh 11 Oktober didakwa dari Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas presiden Najib Razak yang menyatakan sokongan kepada Anwar.

Usul untuk menyokong Anwar itu kemudian disahkan sendiri oleh Najib apabila beliau menyatakan perkara itu dikemukakannya dalam mesyuarat ahli Parlimen BN pada Isnin.

Mereka mengulas perkembangan minggu ini selepas Anwar Ibrahim pengumuman Anwar pada 23 September yang mendakwa beliau mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Oktober, 2020.

Mesyuarat bagi membincangkan titah baginda menolak perisytiharan darurat itu bagaimanapun tidak berkesudahan dan menyerahkan kepada Majlis Tertinggi Umno untuk membuat ketetapan.

Jawatankuasa tersebut kemudian pada lewat malam Isnin mengumumkan untuk tetap menolak kerjasama dengan parti Anwar dan juga dengan seteru lamanya, DAP.

Mengulas keadaan itu, seorang wakil rakyat PKR Lee Khai Loon berkata buat masa sekarang lebih baik semua pihak patuh kepada titah Agong iaitu menghentikan perbalahan politik.

Adun Machang Bubuk itu juga menegaskan demokrasi tetap langkah terbaik untuk menangani krisis pada waktu ini, walau Agong mengarahkan agar Belanjawan 2021 diluluskan.

“Saya berpandangan demokrasi adalah cara terbaik untuk membawa negara kita mengharungi cabaran yang begitu kritikal sekarang.

“Perdana menteri dan kerajaan persekutuan perlu berunding dengan pihak pembangkang serta bekerjasama dalam usaha membantu rakyat serta memastikan impak Covid-19 dapat dikurangkan.” 

Anggota akar umbi seperti ahli cabang Hulu Langat, Nordin Ahmad pula menolak sebarang usaha mengambil alih kerajaan atau membuktikan siapa patut menjadi perdana menteri waktu ini.

Jelasnya, rakyat pada waktu ini lebih bimbang kepada bencana Covid-19 dan bukannya siapa lebih menguasai majoriti.

“Siapa yang mahu jadi kerajaan, kita tunggu sahajalah PRU15. Sekarang rakyat tengah tertekan dengan ekonomi yang teruk

“Usah fikir siapa patut jadi perdana menteri, kita fikir bagaimana untuk pulihkan ekonomi,” jelas beliau. – 30 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen