Ronnie Liu dilepaskan dengan jaminan polis


Alfian Z.M. Tahir

Ronnie Liu disiasat di bawah Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia kerana disyaki menghina Agong. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Oktober, 2020.

ADUN Sungai Pelek Ronnie Liu dilepaskan dengan jaminan polis selepas memberi keterangan berkaitan dakwaan catatan bersifat hasutan di akaun Facebooknya.

Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan Liu dilepaskan ketika dihubungi.

Liu ditahan pagi tadi sebaik tiba di Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya bagi memberi keterangan berkaitan catatan di Facebooknya mengenai protes institusi diraja di Thailand.

Beliau disiasat di bawah Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia.

Laporan media memetik kenyataan peguam Liu, Jadavish Chandra yang anak guamnya tiba di IPD Petaling Jaya sebelum ditahan sekumpulan anggota polis dari Bukit Aman.

Catatan Lim didakwa membandingkan protes Thailand dengan situasi Malaysia sehingga menyebabkan laporan polis dibuat terhadapnya.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed berkata Liu memuatnaik gambar protes di Bangkok, Thailand disertakan catatan “Mereka kata ‘Tidak’ kepada Raja” dalam bahasa Inggeris dan juga “Keadaan semasa di Bangkok”.

Selain Liu, polis turut menyiasat tiga lagi individu yang disyaki menghina Agong di media sosial. – 28 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen