Ronnie Liu disiasat ikut Akta Hasutan, SKMM


Kalidevi Mogan Kumarappa

Adun Sungai Pelek Ronnie Liu ditahan polis kerana mengeluarkan kenyataan berkaitan Yang di-Pertuan Agong di Facebook yang mempunyai kecenderungan menghasut.v–Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Oktober, 2020.

ADUN DAP Ronnie Liu ditahan ketika tampil untuk siasatan berhubung satu kenyataannya yang didakwa menyentuh Yang di-Pertuan Agong, menurut Bukit Aman.

Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi The Malaysian Insight mengesahkan penahanan itu.

“Tangkapan dilakukan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Keterangannya akan dirakam dan jika semuanya selesai beliau akan dibebaskan. Apapun, ia bergantung pada keterangan itu,” katanya ketika dihubungi.

Katanya Adun Sungai Pelek itu ditahan semasa tampil ke ibu pejabat polis daerah Petaling Jaya pada kira-kira jam 10.40 pagi ini untuk memberi keterangan.

Ia berkaitan kenyataan Liu yang menyebut “Mereka kata ‘Tidak’ kepada Raja” dalam bahasa Inggeris dan juga “Keadaan semasa di Bangkok”.

Kenyataan itu disiarkan pada 21 Oktober bersama beberapa gambar menujukkan perhimpunan ramai, didakwa menunjukkan demonstrasi antimonarki di ibu negara Thailand.

Pada tarikh itu, perhatian dalam negara tertumpu kepada tindakan kerajaan Muhyiddin Yassin yang didakwa akan memohon Yang di-Pertuan Agong mengisytihar darurat.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed mengumumkan Liu antara empat individu disiasat polis atas kesalahan menghina Agong. – 28 Oktober, 2020. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen