Zahidi kena serang lagi kerana salahkan rakyat


Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin menyalahkan rakyat sebagai penyebab keadaan politik tidak stabil.– Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Oktober, 2020.

TIMBALAN Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin sekali lagi meraih kontroversi – kali ini atas kenyataannya menyalahkan rakyat sebagai penyebab keadaan politik tidak stabil.

Kenyataannya mengenai perjalanan mesyuarat ahli Parlimen BN itu menerima pelbagai kritikan dari pelbagai pihak yang antara lain melihatnya sebagai tindakan tidak bertanggungjawab.

Antaranya, kalangan pemimpin PKR yang turut menggesa ahli Parlimen Umno itu sedar bahawa keadaan tidak stabil waktu ini berpunca daripada politiking di kalangan pemimpin kerajaan.

Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh berkata Zahidi sepatutnya sedar keadaan tidak stabil waktu ini juga berkait dengan tindak-tanduk kerajaan selama ini.

“Cukuplah menyalahkan rakyat, yang berhormat timbalan menteri. Rakyat melaksanakan amanah membuang undi untuk mengangkat demokrasi adalah tidak salah.

“Kerajaan yang hanya bermain politik, tidak serius mengambil berat isu terkait rakyat dan meletakkan kesalahan pada pihak lain inilah yang bersalah dan tidak bertanggungjawab,” katanya.

Beliau merujuk dakwaan Zahidi semalam bahawa keadaan tidak stabil yang disebutnya “politik 50-50” ini disebabkan tindakan pengundi memilih Pakatan Harapan dalam pilihan raya lalu.

Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh berkata keadaan tidak stabil waktu ini juga berkait dengan tindak-tanduk kerajaan selama ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Oktober, 2020.

Menurut Zahidi, tindakan itu salah dan menyebabkan ahli politik terpaksa memperbetulkan keadaan waktu ini.

Kenyataan dalam satu rakaman video itu terus meraih pelbagai kritikan sebaik ia tular di media sosial semalam.

Syed Ibrahim juga membangkitkan mengenai kenyataan semberono Zahidi beberapa minggu lalu yang mendakwa seorang pelajar berbohong mengenai masalah liputan internet di pedalaman Sabah.

Dalam kes itu, Zahidi kemudiannya terpaksa meminta maaf kepada pelajar itu, Veveonah Mosibin, dan mengakui isu liputan internet di luar bandar sememangnya satu masalah besar.

Oleh itu Zahidi sepatutnya bermuhasabah terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan menyalahkan rakyat sekali lagi, kata Syed Ibrahim.

“Saya menyarankan agar Zahidi mengambil peluang untuk mencermin diri, adakah beliau sendiri sudah memperbetulkan keadaan?

“Dengan pelbagai kenyataan, peristiwa dan usaha yang acuh tidak acuh sebagai timbalan menteri komunikasi dan multimedia, adakah beliau berhak untuk meletakkan keadaan sekarang ke atas pundak bahu rakyat?”

Kenyataan Zahidi menyalahkan rakyat kerana mengundi pembangkang itu dibuat ketika menyertai mesyuarat ahli parlimen BN semalam.

Ia bagi membincangkan masa depan kerjasama dalam Perikatan Nasional dan mengenai kedudukan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Mesyuarat itu dijalankan ekoran keputusan Yang di-Pertuan Agong menolak permohonan mengisytiharkan darurat dan seruan supaya pemimpin politik tidak mengganggu kestabilan politik.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah juga menegaskan kepentingan khusus untuk meluluskan belanjawan 2021 bagi menangani pandemik tersebut. – 27 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen