Muhyiddin luang masa dua jam bertemu Kabinet


Aminah Farid

Pemimpin Bersatu, Radzi Jidin turut dilihat di kediaman Muhyiddin malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 25 Oktober, 2020.

JEMAAH menteri menghabiskan kira-kira dua jam dalam pertemuan dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di kediaman peribadinya di Bukit Damansara hari ini.

Pertemuan itu diadakan selepas beberapa jam Yang diPertuan Agong menolak nasihat untuk mengisytiharkan perintah darurat bagi memerangi pandemik Covid-19.

Anggota kabinet dipercayai berada di kediaman perdana menteri itu bagi membincangkan spekulasi yang kian meningkat berhubung langkah Muhyiddin seterusnya.

Laporan turut mendedahkan bahawa Muhyiddin sedang mempertimbangkan untuk meletak jawatan beliau selepas gagal meyakinkan Yang di-Pertuan Agong untuk pengisytiharan darurat dilaksanakan.

Antara yang dilihat di kediaman Muhyiddin ialah Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mustapa Mohamed, Menteri Hal Ehwal Agama Zulkifli Bakri, Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob, Menteri Sumber Manusia Saravan Murugan dan bekas ketua hakim Ariffin Zakaria.

Turut hadir termasuk Takiyuddin Hassan, Rina Harun, Edmund Santhara Kumar, Mohd Redzuan Yusof, Noraini Ahmad, Radzi Tajuddin dan beberapa anggota Bersatu yang lain.

Agong hari ini menolak cadangan Putrajaya untuk mengisytiharkan darurat bagi membendung Covid-19 di negara ini.

Muhyiddin mengeluarkan kenyataan bahawa kabinet maklum atas keputusan Agong tersebut dan akan membincangkannya dengan lebih lanjut.

Kabinet Muhyiddin pada Jumat lalu bersetuju untuk mencadangkan pengisytiharan darurat kepada Agong, ia dikatakan sebagai langkah memerangi gelombang ketiga wabak Covid-19 di negara ini yang menyaksikan kes jangkitan melebihi 25,000 dan mencatat lebih dari 200 kematian.

Pertemuan di rumah Muhyiddin malam ini berlaku susulan Pejabat Perdana Menteri membatalkan pertemuan dengan para pemimpin semua kerajaan negeri esok. – 25 Oktober, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen