Bukti tak cukup untuk dakwa Khairuddin, kata peguam negara


Jabatan Peguam Negara mendapati tidak ada arahan pemerhatian atau pengawasan di rumah dikeluarkan kepada Menteri Khairuddin Aman Razali seperti termaktub dalam Akta 342. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Oktober, 2020.

TIDAK ada bukti mencukupi untuk mengenakan sebarang pertuduhan ke atas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang dituduh melanggar arahan kuarantin Julai lepas, kata peguam negara hari ini.

Peguam Negara Idrus Harun dalam satu kenyataan berkata Jabatan Peguam Negara mendapati tidak ada arahan pemerhatian atau pengawasan di rumah dikeluarkan kepada Khairuddin seperti termaktub dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Borang 14b seperti yang diperuntukkan dalam Garis Panduan Kementerian Kesihatan Malaysia yang mengandungi perintah pemerhatian atau pengawasan selaras dengan subseksyen 15(1) Akta 342 tidak pernah diserahkan kepada menteri sebelum beliau dibenarkan pulang ke rumah.

“Bagi menjadikan perbuatan melanggar perintah kuarantin di rumah sebagai suatu kesalahan di bawah Akta 342, perintah pemerhatian atau pengawasan di rumah mestilah diserahkan kepada menteri terlebih dahulu sebagaimana kehendak di bawah subseksyen 15(1) Akta 342,” katanya dalam kenyataan itu.

Idrus mengesahkan kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed awal hari yang AGC memutuskan tiada tindakan lanjut akan dibuat ke atas Khairuddin.

Huzir berkata keputusan itu dibuat selepas Khairuddin didapati tidak diberikana borang 14B arahan kuarantin.

Tambah Idrus lagi, Khairuddin melawat Turki pada 3 Julai 2020 dan pulang ke Malaysia pada 7 Julai 2020.

“Sejurus tiba di KLIA, menteri telah menjalani pemeriksaan kesihatan untuk saringan Covid-19 (swab test) dan keputusannya adalah negatif.

“Menteri telah pun dibenarkan pulang ke kediamannya oleh pegawai daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, selaku pegawai diberi kuasa yang dilantik di bawah seksyen 3 Akta 342.

“Kemudian, menteri telah menjalani ujian saringan kali kedua pada 10 Julai 2020 di Hospital Kuala Lumpur sebelum menghadiri majlis di Istana Negara pada 17 Ogos 2020. Keputusan saringan kali kedua adalah negatif,” kata Idrus.

Jelasnya lagi, polis sudah menjalankan siasatan mendalam ke atas laporan dibuat mendakwa Khairuddin melanggar arahan kuarantin rumah wajib selepas pulang dari Turki.

Bagaimanapun, Idrus berkata, selepas pertimbangan penuh berdasarkan bukti yang wujud, AGC mendapati tiada kesalahan dilakukan kerana menteri tidak diberikan arahan itu.

“Berdasarkan perkara yang tersebut di atas, Jabatan Peguam Negara memutuskan untuk tidak mengemukakan sebarang pertuduhan terhadap menteri memandangkan tiada keterangan yang kukuh bagi memenuhi beban bukti yang diperlukan di bawah undang-undang.”

Selepas kes itu terbongkar, Khairuddin meminta maaf kerana melanggar SOP dan berikrar memulangkan gajinya sebagai menteri untuk bulan Mei hingga Ogos dengan memberi sumbangan kepada Tabung Covid-19.

Katanya, sudah menjadi tanggungjawabnya sebagai menteri untuk patuh peraturan dan SOP sepanjang pelaksanaan perintah kawalan pergerakan.

Susulan kecaman rakyat terhadap kes itu, Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata Khairuddin didenda RM1,000 kerana melanggar SOP kuarantin rumah. – 21 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen