Jabatan Peguam Negara putuskan tak dakwa Khairuddin, kata polis


Kalidevi Mogan Kumarappa

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman tidak diberi borang untuk kuarantin wajib selepas kembali dari Turki.– Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Oktober, 2020.

JABATAN Peguam Negara memutuskan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman tidak akan didakwa atas kesalahan melanggar perintah kuarantin, menurut polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata perkara itu diputuskan kerana siasatan mendapati Khairuddin tidak diberi borang untuk kuarantin wajib.

Oleh itu tiada tindakan lanjut akan dikenakan ke atas menteri PAS itu, katanya dalam sidang media.

“Selepas kertas siasatan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara, kami mendapat arahan untuk NFA (tiada tindakan lanjut) kes berkenaan.

“Ini atas alasan menteri tidak diberikan Borang 14B Seksyen 15(1) Akta 342 untuk menjalani perintah kuarantin,” katanya di Bukit Aman.

Polis memanggil Khairuddin itu dan tiga ahli keluarganya untuk memberi keterangan sebaik siasatan dimulakan pada hujung Ogos.

Kertas siasatan itu beberapa kali dimajukan kepada Pejabat Peguam Negara dan dikembalikan semula untuk dilengkapkan polis, sebelum keputusan diumumkan Huzir hari ini.

Menurut polis, siasatan dijalankan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Penguatkuasaan Akta 342 itu mewajibkan semua individu yang baru tiba dari luar negara termasuk warganegara dan warga asing untuk menjalani kuarantin wajib selama 14 hari.

Ia sebagai langkah mengekang penularan virus Covid-19.

Pesalah kali pertama mengikut akta itu boleh dikompaun maksimum RM1,000 oleh ketua pengarah kesihatan, dipenjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya jika dihadapkan ke mahkamah oleh agensi penguatkuasaan.

Ketika isu tersebut dibangkitkan pada awal bulan tersebut, Kementerian Kesihatan mengumumkan Mohd Khairuddin sudahpun dikenakan kompaun RM1,000.

Menurut kementerian, kompaun itu dikenakan pada 7 Ogos – sebulan selepas Khairuddin kembali dari luar negara.

Khairuddin juga waktu itu meminta maaf kerana tidak menjalani kuarantin wajib dan turut mendermakan empat bulan gajinya sebagai tanda menyesali kesalahan tersebut.

Beliau bagaimanapun tetap menerima kecaman meluas kerana didakwa cuba menutup kesalahannya dan kerajaan juga dituduh pilih kasih dalam kes tersebut.

Ini memandangkan beberapa orang awam yang terbabit dalam kes melanggar perintah kuarantin wajib dikenakan hukuman lebih tinggi termasuk denda dan penjara. – 21 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Abg adik sama sja

    Dimuat naik 3 tahun yang lalu oleh Marhaen Marhaen · Ulasan