2 kampung di Labuan dikenakan PKPD mulai esok


Aminah Farid

Dua kampung di Labuan akan ditempatkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Dipertingkatkan (PKPD) mulai 21 Oktober selama dua minggu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Oktober, 2020.

DUA kampung di Labuan akan ditempatkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Dipertingkatkan (PKPD) mulai 21 Oktober selama dua minggu, kata Menteri Kanan Ismail Sabri hari ini.

Dua kampung tersebut ialah Kampung Saguking Laut dan Kampung Sebur Baru.

“PKPD akan menyekat pergerakan keluar masuk dari kawasan tersebut dan juga memudahkan pihak kesihatan menjalankan ujian Covid-19 ke atas penduduk,” katanya semasa sidang media hari ini.

Ismail Sabri berkata seramai 8,062 penduduk akan terjejas oleh perintah kawalan ini. 

Penduduk di kedua-dua kampung akan ditempatkan di bawah Perintah Pengawasan Di Rumah dan diberi gelang pemantauan untuk dipakai.

“Mereka yang bergejala dan sudah diambil sampel juga perlu memakai gelang pemantauan,” katanya.

Ismail berkata pergerakan keluar masuk dari kawasan PKPD tidak dibenarkan walaupun untuk bekerja.

Pengecualian hanya diberikan kepada mereka yang berdepan kecemasan. 

“Semua kegiatan sosial dan keagamaan serta semua bentuk perhimpunan tidak dibenarkan termasuk aktiviti perdagangan pertukaran barangan atau ‘barter trade’,” katanya.

Bagaimanapun aktiviti ekonomi tertentu seperti kedai runcit dan kedai makan dibenarkan beroperasi untuk bawa pulang sehingga jam 6 petang sahaja.

Jumlah kes Covid-19 di negara ini meningkat dua kali ganda lebih daripada 21,000 kes pada 19 hari pertama Oktober dengan 865 kes baharu dicatatkan semalam – jangkitan pada hari ketiga mencapai angka 800.

Sabah setakah ini menyumbang satu pertiga dari semua kes di negara ini dan juga satu pertiga dari semua kes kematian.

Angka kematian nasional kini berjumlah 190 orang. – 20 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen