Pekerja di zon PKPB wajib kerja dari rumah, kata Ismail Sabri


Aminah Farid

Semua pekerja sektor awam dan swasta di kawasan dikenakan PKPB diwajibkan kerja dari rumah bermula 22 Oktober. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Oktober, 2020.

KERJA dari rumah diwajibkan untuk pekerja pengurusan dan pengawasan dalam sektor awam dan swasta di kawasan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) bermula 22 Oktober, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob, hari ini.

Keputusan Majlis Keselamatan Negara itu bakal melibatkan hampir sejuta orang pekerja. PKPB kini dikuatkuasa di Sabah, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Keputusan itu dibuat disebabkan masih berlaku peningkatan kes Covid-19 di kawasan PKPB terutama di Sabah dan Selangor.

Maklumat jenis pekerjaan yang perlu kerja di rumah akan dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, MITI, tambah Ismail Sabri lagi.

“Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) juga memaklumkan bahawa hampir 800,000 pekerja sektor industri dari Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Selangor dan Sabah akan terlibat dengan arahan ini.

“Arahan ini juga akan melibatkan seramai hampir 200,000 penjawat awam di Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Selangor dan Sabah.

“Ini merupakan arahan dan bukan lagi permintaan. Majikan diarah mengeluarkan surat pelepasan bagi pekerja-pekerja ini untuk bekerja dari rumah,” katanya.

Bagi pekerja yang perlu hadir ke pejabat, ujian swab diwajibkan.

Majikan yang menjadi pencarum Socso boleh membuat tuntutan bayaran kos ujian swab.

“Antara bahagian yang perlu bekerja di pejabat termasuk bahagian kewangan dan yang perlu membuat bayaran, begitu juga mereka yang bekerja di bahagian penguatkuasaan dan kebajikan, mereka juga perlu terus bekerja, mereka perlu buat ujian.

“Ini bagi memastikan mereka yang kembali ke tempat kerja adalah negatif Covid-19. Mereka yang didapati positif akan dibawa ke hospital untuk rawatan,” kata Ismail Sabri lagi.

Katanya, arahan sama dikenakan ke atas pekerja asing yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan sektor pembinaan.

“Ketetapan ini diteruskan kepada pekerja warga asing di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Sabah dan Labuan. Bagi pekerja warga asing yang majikan mereka mencarum dengan Perkeso, ujian swab adalah disediakan secara percuma,” katanya.

Majikan perlu mengeluarkan surat pengecualian kepada pekerja yang perlu ke tempat kerja, tambahnya.

Arahan kerja dari rumah akan berkuatkuasa dalam tempoh dua hari lagi sehingga tamat PKPB. 

“Misalnya di Selangor dan KL, arahan berkuatkuasa bermula 22 hingga 27 Oktober.

“Bagaimanapun, jika PKPB dilanjutkan, arahan juga akan dilanjutkan selaras dengan PKPB,” katanya.

Jumlah kes Covid-19 negara meningkat dua kali ganda kepada lebih 21,000 kes dalam hanya 19 hari bulan Oktober, semalam negara merekodkan 865 kes, hari ketiga berturut-turut kes baharu melebihi 800 dilaporkan. – 20 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen