Pengguna tuntut jawapan, 18 gangguan air di Selangor


Noel Achariam Chan Kok Leong

Gangguan bekalan air di Lembah Klang semalam akibat pencemaran loji rawatan air menjejaskan lebih sejuta pengguna. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 20 Oktober, 2020.

GANTI rugi kepada pengguna dan penubuhan pasukan petugas khas tangani pencemaran sungai adalah dua langkah segera perlu diambil pihak berkuasa untuk menangani masalah gangguan bekalan air, kata kumpulan aktivis dan bekas suruhanjaya.

Mereka berkata langkah itu penting selepas 18 gangguan bekalan air dilaporkan di Lembah Klang obsepanjang antara Mac dan Oktober yang membebankan jutaan pengguna.

Antara pemotongan bekalan itu, hanya dua gangguan berjadual bagi kerja membaiki dan menaik taraf, menurut maklumat diperoleh daripada laman web Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Bagi 16 lagi gangguan, sekurang-kurangnya lima berlaku akibat pencemaran di pusat agihan atau sumber air ke Sungai Semenyih dan Sungai Selangor, manakala selebihnya berpunca daripada paip pecah.

Presiden Forum Air Malaysia Saral James Maniam berkata bagi setiap gangguan bekalan air, pengguna sepatutnya diberi ganti rugi atas kesilapan syarikat air.

Beliau berkata ini bagi memastikan syarikat bekalan air menjalankan tugas dengan cekap.

“Undang-undang lebih ketat sudah ada tetapi pencemaran masih berlaku. Pelakunya tidak kisah pun tentang penguatkuasaan atau undang-undang,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Saya fikir pihak berkuasa perlu lakukan sesuatu, bukannya sekadar menunggu sesuatu berlaku baru hendak bertindak.”

Saral mengulas tentang gangguan terbaru akibat pencemaran di Sungai Selangor yang menyebabkan penutupan loji rawatan air Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang.

Orang ramai mengambil air menggunakan botol besar dari sumber air Air Selangor di Kuala Lumpur. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Oktober, 2020.

Penggantungan operasi di empat loji itu menyebabkan bekalan air terputus kepada 1.196 juta isi rumah di 1,292 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man semalam berkata bekalan air di Lembah Klang dijangka pulih secara berperingkat dalam tempoh 24 jam, menambah pencemaran mungkin disebabkan kilang berhampiran.

Saral menggesa syarikat air seperti Air Selangor dan Selangor Water Management Authority (Luas) untuk lebih proaktif.

“Ini bukan tentang Air Selangor saja, tetapi Luas juga sepatutnya lebih berkesan dalam memainkan peranan sebagai badan penguatkuasa.

“Kenapa kerap sangat berlaku? Minggu lalu di Semenyih, sekarang Selangor, lepas ini di mana pula? Adakah ini sabotaj?,”katanya.

Beliau berkata nampaknya pihak tidak bertanggungjawab tidak takut untuk membuang bahan tercemar ke sungai.

“Sultan Selangor juga bertitah semua kilang di sepanjang sungai perlu dirobohkan.

“Ia akan ambil masa. Tetapi apa yang pihak berkuasa buat sekarang untuk menangani masalah ini.”

Saral berkata perlu ada pengutkuasaan yang efektif dan masyarakat awam perlu dimaklumkan tentang tindakan yang dilaksanakan.

Di mana pasukan petugas khas

Bekas pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Charles Santiago berkata kerajaan negeri perlu menubuhkan pasukan petugas khas untuk menangani masalah pencemaran sungai.

Beliau berkata penting untuk menubuhkan jawatankuasa peringkat tinggi yang turut disertai pakar yang tidak ada kaitan denga kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri perlu ada keinginan politik bagi menangani masalah ini segera, jika boleh esok dan tidak menunggu hingga pencemaran air berlaku lagi.

“Saya sudah mengesyorkan menerusi surat kepada Menteri Besar Selangor Amirudin Shari sejak September dan masih menunggu jawapannya.”

Santiago berkata beliau turut mencadangkan pada bulan lalu untuk membina zon penampan dari lembangan sungai sebagai perlindungan daripada pembuangan sampah secara haram.

“Idea saya ialah membina penampan 50 hingga 100 meter dari sungai.

“Kilang berlesen di sepanjang sungai perlu berpindah, mereka boleh dipindahkan ke kawasan perindustrian.

“Tidak perlu buat untuk sepanjang sungai. Hanya kawasan yang dekat dengan perumahan.”

Santiago berkata ini masa paling buruk untuk gangguan air berlaku, terutama ketika perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) mula dikuatkuasakan minggu lalu bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

“Sekarang bila ada gangguan, keluarga terpaksa pergi dari kedai ke kedai untuk cari air.

“Tujuan PKPB dikuatkuasakan sekarang musnah.” – 20 Oktober, 2020.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen