Maszlee usul gantung urusan kerajaan di Dewan Rakyat


Ahli Parlimen Simpang Renggam menghantar usul penangguhan urusan kerajaan untuk sidang Parlimen akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Oktober, 2020.

AHLI Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik mahu urusan kerajaan digantung terlebih dahulu apabila Dewan Rakyat bersidang pada 2 November ini untuk mendengar usul tidak percaya terhadap perdana menteri.

Beliau membuat usul itu melalui Peraturan 90(2) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat untuk merentikan kuat kuasa Peraturan 15 (1) dan beberapa peraturan-peraturan mesyuarat lain yang berkaitan.

Maszlee juga mengemukakan satu usul berasingan supaya aturan mesyuarat pada 2 November diubah daripada kelaziman untuk memberi laluan mendengar usul tidak percaya terhadap perdana menteri.

Menurut Maszlee, beliau menghantar usul itu supaya Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak lagi boleh berselindung di sebalik teknikal undang-undang.

“Usul ini pada asasnya bukanlah untuk menambah rumit kemelut politik sedia ada di saat rakyat sedang berdepan bencana. Namun usul ini hakikatnya tampil untuk menamatkannya.

“Sekiranya ahli-ahli Dewan melihat penting agar usul undi tidak percaya didahulukan, maka ahli-ahli Dewan boleh menyokong usul ini supaya usul undi tidak percaya boleh didengar dan diputuskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Notis usul bertarikh 15 Oktober itu mempunyai cop tanda terima Pejabat Yang di-Pertua Dewan Rakyat bertarikh 16 Oktober.

“Kemelut dan krisis politik yang kita semua hadapi hari ini boleh ditamatkan dan semua ini boleh diselesaikan di Dewan Rakyat. 

“Inilah masanya untuk semua menunjukkan keikhlasan masing-masing, ketika rakyat berdepan bencana Covid-19 dan berada dalam kesusahan,” tambahnya.

Peraturan Mesyuarat 15(1) menetapkan bahawa urusan kerajaan hendaklah didahulukan daripada urusan lain dalam persidangan.

Peraturan Mesyuarat 90(2) pula menyebut usul untuk menggantung kuat kuasa mana-mana peraturan mesyuarat boleh dicadangkan kepada speaker. Speaker kemudian hendaklah mengemukakan usul berkenaan untuk diputuskan oleh Dewan Rakyat tanpa perbahasan.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun pada Jumaat lalu mengumumkan pihaknya menerima 30 usul daripada 25 ahli Dewan Rakyat sehingga petang 16 Oktober bagi sidang mesyuarat Dewan Rakyat akan datang.

Dewan Rakyat akan bersidang selama 27 hari bermula 2 November hingga 15 Disember.

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang juga ahli Parlimen Langkawi sebelum ini mengemukakan usul tidak percaya terhadap Muhyiddin, yang diterima oleh Speaker Dewan Rakyat terdahulu Mohamad Ariff Md Yusof pada 8 Mei.

Usul itu bagaimanapun tidak dibawa untuk dibahas dan diputuskan dalam sidang Dewan Rakyat pada Mei dan Julai lalu.

Minggu lalu, surat menyurat Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dan Azhar berhubung isu sama didedahkan. Dalam surat itu, Tengku Razaleigh meminta usul tidak percaya terhadap perdana menteri didengar segera di Dewan Rakyat.

Menurut Azhar, beliau terikat kerana peraturan mesyuarat Dewan Rakyat menetapkan urusan kerajaan perlu diberi keutamaan berbanding usul persendirian.

Minggu lalu, sekurang-kurangnya 16 ahli Parlimen pembangkang juga mengemukakan notis usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin untuk diangkat apabila Dewan Rakyat bersidang nanti.

Selain Dr Mahathir yang mengemukakan usul sama sekali lagi, usul itu dikemukakan kali ini oleh empat ahli Parlimen lain iaitu Mukhriz Mahathir (Jerlun), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu), Shahruddin Md Salleh (Sri Gading), dan Maszlee sendiri.

Mereka adalah bekas pemimpin Bersatu yang dibuang dari parti dan kini mengasaskan parti baharu Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang). Parti itu sedang diproses pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan.

Sementara itu, semua ahli Parlimen Amanah juga dilaporkan memfailkan notis usul tidak percaya terhadap Muhyiddin. – 19 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen