Surat terbuka kepada Umno


KE hadapan Yang Berhormat presiden, timbalan presiden, naib presiden, ahli Majlis Tertinggi, ahli Parlimen dan ahli Umno seluruh negara.

Saya merupakan seorang ahli Umno di Wilayah Persekutuan yang sayangkan parti ini dan prihatin terhadap nasib serta masa depan parti.

Saya terpanggil untuk menulis surat terbuka ini bagi tatapan semua kerana saya sudah tidak sanggup melihat kerosakan terhadap parti ini dalam kita menghadapi situasi getir pandemik Covid-19 selain ketidaktentuan hala tuju politik tanahair.

Umno ini sebuah parti yang ditubuhkan pada 1946 di atas jerih perih nenek moyang kita dahulu melawan pembentukan Malayan Union.

Parti yang diasaskan atas dasar keikhlasan dan keinsafan untuk menyatukan bangsa Melayu selain membantu rakan-rakan lain dalam memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu ketika itu dianggap cukup keramat dan diagungi rakyat.

Tahun demi tahun, dekad demi dekad berlalu, kini persoalan timbul: apakah parti Umno ini masih lagi keramat seperti mana ia ditubuhkan dahulu? 

Pelbagai jenis pengkhianatan sama ada secara sedar atau tidak telah sedikit sebanyak merosakkan imej parti ini di mata umum.

Pengkhianatan yang pastinya akan memberi impak negatif bukan sahaja kepada parti malah ia akan turut mengheret bangsa Melayu yang akan dianggap sebagai bangsa yang korup.

Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) merupakan satu malapetaka yang telah ditempah lama oleh parti kita jika dilihatkan daripada fakta.

Usah kita terus hidup “in denial” dengan mengatakan bahawa kita ditolak ketika itu kerana fitnah dari pihak lawan. 

Saya pasti rakyat Malaysia sedar betapa Umno bersama Barisan Nasional (BN) banyak berjasa kepada negara. 

Namun, apakah puncanya yang menyebabkan parti ini ditolak pada pilihan raya tersebut? 

Ya, jawapannya adalah kesilapan kita sendiri. Kuasa telah membutakan mata dan hati kita semua. Inilah sebenarnya punca kekalahan kita.

Pasca kekalahan memalukan itu, sepatutnya parti kita melakukan perubahan secara total. Muhasabah merupakan satu perkataan yang acapkali dilaungkan pada waktu itu.

Umno diperhatikan dari luar dan dalam ketika menggalas tugas sebagai pembangkang. 

Walau ditekan dengan pelbagai dugaan, akaun dibekukan, bekas pemimpin dan beberapa pemimpin atasan didakwa atas pelbagai kesalahan, parti ini terus bergerak.

Rakyat sudah mula melihat kewibawaan Umno dan BN sebagai pembangkang berkaliber.

Malah ketika itu, kepercayaan rakyat sudah sedikit sebanyak diraih kerana parti ini adalah parti yang memperjuang nasib rakyat.

Bukan parti yang membuta tuli memperjuangkan nasib pemimpin semata.

Namun perubahan iklim politik negara merubah segala-galanya. Kuasa sekali lagi melemahkan pegangan parti kita. 

Usah kita salahkan pihak lain kerana dari awal lagi sepatutnya kita sedar bahawa kita perlu teguh dengan prinsip yang mana perjuangan kita asasnya adalah kebajikan serta nasib rakyat, bukan kuasa serta jawatan. 

Cuba lihat di sekeliling kita sekarang, rakyat mula meluat, memaki dan menyumpah pemimpin Umno yang memegang jawatan menteri dan timbalan menteri.

Di mana silapnya? Kita dilihat sebagai parti yang hanya memikirkan untuk membentuk kerajaan. Bukan sebagai wadah untuk rakyat mengadu nasib mereka.

Inilah yang perlu kita perhalusi. 

Saya memohon dan merayu agar pemimpin atasan Umno sedar dan benar-benar insaf.

Parti ini akan digamit kepupusan jika kita masih tidak mahu sedar yang parti perlukan satu bentuk perubahan dalam segenap segi. 

Tolonglah. Cukuplah kita bermain politik. Cukuplah kita hidup di dalam Umno ini bertuankan kuasa semata-mata. Buang segala sifat tamak dan pentingkan diri sendiri. 

Kepada pemimpin yang sedang menghadapi pertuduhan di mahkamah, lakukanlah pengorbanan dengan berundur secara terhormat.

Ini kerana pengorbanan anda nanti akan menjamin masa depan anak cucu bangsa yang lebih cerah. Jasa anda kelak akan terus diingati zaman berzaman sebagai pejuang rakyat.

Janganlah disebabkan ego serta rasa tamak di dalam diri kita membuatkan parti ini terus dibuang oleh rakyat.

Perlu kita ingat, bangsa Melayu sendiri telah berpecah-pecah akibat daripada perebutan kuasa dan perbezaan fahaman politik. 

Jika benar kita semua menganggap Umno ini sebuah perjuangan, maka perjuangkanlah nasib rakyat sebenar-benarnya. Lakukanlah pengorbanan kerana Umno ini juga dahulu lahir dari satu bentuk pengorbanan yang cukup suci. 

Ahli-ahli biasa juga pastinya akan lebih membara semangat mereka jika pemimpin-pemimpin boleh menunjukkan satu bentuk teladan yang baik.

Sedarlah, kuasa itu tidak akan ke mana. Jika kita benar menunjukkan betapa kita ikhlas dalam memperjuangkan nasib rakyat, pastinya rakyat yang sudah bijak akan memberi mandat dan kepercayaan mereka kepada kita pada pilihan raya umum kelak. 

Biarlah kita berundur setapak, kemudian perbetulkan langkah kita, perkemas saf kepimpinan dan gerak kerja kita agar bila tiba masanya nanti, kita mampu sediakan satu barisan ampuh yang bukan sahaja digeruni lawan dan disegani kawan, tetapi satu barisan yang bisa menggoda setiap sosok rakyat untuk mengundi parti kita ini. 

Pada waktu itu, parti Umno ini sudah benar-benar kembali menjadi sebuah parti keramat dan tulang belakang kepada kerajaan BN.

Akhir kalam, saya dengan rendah hati sekali lagi memohon agar kesemua pemimpin Umno sedar betapa di luar sana begitu ramai rakyat serta ahli parti yang cukup setia tidak sanggup melihat parti ini berkubur dek kerana sikap serta kerakusan segelintir dari kita yang menganggap kuasa adalah segala-galanya. 

Jika masih tiada perubahan, janganlah kita sesali suatu hari nanti, nama Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu ini hanya muncul di dalam buku-buku sejarah buat tatapan generasi akan datang. 

Berkorban atau dikorbankan. – 15 Oktober, 2020.

* Mohamad Ariff Jamaluddin, ahli Umno.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • UMNO ditolak rakyat Malaysia kerana pemimpin- pemimpin mereka yang SOMBONG dan BONGKAK, merasa kejayaan dan nasib orang Melayu ditangan mereka. Mereka mau kekal berkuasa dan mendapat kemewahan dari penguasaan keatas UMNO. Hakikatnya KEJAYAAN sesuatu bangsa itu ditentukan individu bangsa itu sendiri. Kumpulan atau parti politik bangsa itu hanya menyediakan dan menyenangkan usaha ke arah kejayaan

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Masfaliza masmuda · Ulasan