Adakah Muhyiddin cukup sokongan terus jadi PM?


The Malaysian Insight

Muhyiddin Yassin dan Bersatu sedang bergelut kumpul sokongan majoriti di Dewan Rakyat menjelang sidang pembentangan Belanjawan 2021 bermula 2 November. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Oktober, 2020.

APA yang berlaku dalam tempoh 48 jam lalu telah mengubah persoalan tentang sokongan yang cukup untuk membentuk kerajaan daripada Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

The Malaysian Insight difahamkan Muhyiddin dan Bersatu pimpinannya bergelut mahu mengumpulkan sokongan majoriti untuk Perikatan Nasional (PN) di Dewan Rakyat menjelang sidang pembentangan Belanjawan 2021 bermula 2 November. 

Kerajaan memerlukan majoriti mudah 112 ahli Parlimen untuk kekal berkuasa di Dewan Rakyat. Sebelum ini, ia mempunyai sokongan 113 daripada 222 ahli Parlimen.

Usaha mengumpulkan sokongan itu bermula selepas Anwar menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Selasa. 

Pada pertemuan itu, Anwar mempersembahkan dokumen yang menunjukkan beliau ada sokongan yang disifatkannya sebagai “kukuh dan meyakinkan” untuk jadi perdana menteri.

Presiden PKR belum lagi mendedahkan senarai ahli Parlimen yang mendukungnya sebagai perdana menteri.

Namun veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah semalam mencetuskan keraguan mengenai majoriti tipis Muhyiddin apabila beliau mendedahkan surat-menyuratnya dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun. Surat-menyurat itu mengenai usul tidak percaya terhadap perdana menteri.

Bekas perdana menteri dan bekas presiden Umno Najib Razak juga menyokong keputusan biro politik parti itu yang menimbang semula sokongan Umno kepada PN.

Tindakannya juga membayangkan blok kerajaan kini semakin hilang sokongan minggu ini.

Majoriti PN pertama kali diuji pada Julai apabila kerajaan mengemukakan cadangan untuk menyingkirkan speaker Dewan Rakyat ketika itu Mohamad Ariff Md Yusof.

Usul itu diluluskan dengan 111 ahli Parlimen menyokong dan 109 membantah. Seorang ahli Parlimen tidak hadir sementara Timbalan Speaker Rashid Hasnon mempengerusikan sidang.

Ariff dipercayai diketepikan selepas membenarkan usul tidak percaya terhadap perdana menteri dikemukakan oleh Ahli Parlimen Langkawi Dr Mahathir Mohamad, yang letak jawatan perdana menteri pada Februari.

Usul Dr Mahathir sehingga kini tenggelam dalam aturan mesyuarat Dewan Rakyat, dan inilah yang ditanya oleh Tengku Razaleigh dalam suratnya kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat bertarikh 25 September.

The Malaysian Insight difahamkan Azhar menyerahkan sendiri surat balasannya kepada Tengku Razaleigh pada 29 September.

Azhar dalam satu kenyataan malam tadi berkata kedudukan usul undi tidak percaya di dalam Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat bukanlah unik kepada sistem di Malaysia.

“Malah, sistem yang di amalkan di Australia juga hampir serupa dengan amalan kita di mana sesuatu usul undi tidak percaya itu tidak akan dipercepatkan perbahasannya tanpa penerimaan oleh seorang Menteri,” katanya.

Persoalan sama ada Anwar atau Muhyiddin mempunyai sokongan untuk jadi perdana menteri dijangka akan mengambil untuk terjawab kerana Yang di-Pertuan Agong belum lagi mengesahkan dakwaan presiden PKR.

Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap Tengku Razaleigh selepas sesi menghadap Anwar pada Selasa.

Baginda dijangka menerima menghadap ketua parti daripada Umno, DAP, dan Amanah namun perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang dikenakan di Kuala Lumpur dan Selangor bermula semalam menangguhkan sesi berkenaan.

PKPB ini berkuat kuasa sehingga 27 Oktober.

Penganalisis berkata penangguhan ini memberi ruang kepada Muhyiddin untuk menimbang pilihannya dan mengendurkan kemarahan Umno, yang berpecah antara meneruskan sokongan kepada perdana menteri atau membentuk gabungan baharu bersama Anwar.

Umno mempunyai sembilan menteri dan tujuh timbalan menteri dalam kerajaan Muhyiddin.

Namun ahli Parlimen Umno yang tidak memegang jawatan kerajaan berkata parti itu telah diketepikan dalam gabungan yang dibentuk selepas Bersatu menarik diri daripada kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Dr Mahathir pada Februari.

Dr Mahathir yang sudah menubuhkan parti baharu Parti Pejuang Tanah Air dengan sokongan lima ahli Parlimen berkata mereka tidak menyokong PN dan tidak juga menyokong gabungan Anwar dan Umno. – 15 Oktober, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen