Putrajaya dilihat tidak adil selagi Khairuddin tidak didakwa, kata aktivis


Alfian Z.M. Tahir

Ahli Parlimen Kuala Nerus Khairuddin Aman Razali ke Turki antara 3 dan 7 Julai dan kembali ke Parlimen pada 13 Julai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Oktober, 2020.

PUTRAJAYA akan terus dianggap mengamalkan pilih kasih dalam pengurusan penularan Covid-19 selagi Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali tidak didakwa di mahkamah kerana melanggar perintah kuarantin wajib, kata peguam dan aktivis.

Mereka berkata demikian ketika menteri PAS itu sehingga ini masih belum dikenakan tindakan walaupun selepas 100 hari pulang dari luar negara tetapi tidak menjalani kuarantin wajib seperti yang disyaratkan ketika itu.

Khairuddin, yang dilaporkan ke Turki bersama tiga ahli keluarganya, pulang ke Malaysia pada 7 Julai. Beliau hadir ke sidang Parlimen pada 13 Julai, yang ketika itu menentukan pelantikan speaker Dewan Rakyat yang baharu.

Pengerusi Bersih 2.0 Thomas Fann berkata persepsi pilih kasih akan terus ada selagi Pejabat Peguam Negara tidak mengambil tindakan terhadap Khairuddin.

“Persepsi pilih kasih akan kekal jika peguam negara tidak dakwa Khairuddin, terutama apabila ramai rakyat biasa didakwa, disabitkan dan dijatuhi hukuman dengan denda dan penjara.

“Ini hanya menguatkan lagi pandangan bahawa pendakwaan dibuat secara terpilih dan peguam negara tidak bebas,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meyakinkan rakyat Malaysia minggu lalu bahawa tiada pilih kasih antara ahli politik dan rakyat biasa dalam soal pematuhan sekatan yang ditetapkan bagi membendung Covid-19.

Semua orang termasuk dirinya, kata perdana menteri, perlu mematuhi peraturan kuarantin yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Dalam perutusannya pada 7 Oktober Muhyiddin berkata tujuh menteri dan enam timbalan menteri menjalani kuarantin selama 14 hari selepas menteri agama Zulkifli Mohamad yang disahkan dijangkiti Covid-19.

Tempoh kuarantin mereka, yang disahkan negatif Covid-19, dijadual berakhir minggu ini.

Khairuddin setakat ini sudah dikenakan kompaun oleh Kementerian Kesihatan pada 7 Ogos.

Kementerian Kesihatan mengumumkan tindakan kompaun itu setelah kes Khairuddin jadi perhatian umum. Kes Khairuddin dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok yang juga bekas menteri portfolio sama di Dewan Rakyat pada pertengahan Ogos.

Di bawah peraturan yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara pada ketika itu, semua orang yang masuk ke Malaysia dari luar negara perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari secara kendiri. Mereka yang didapati positif Covid-19 pula dirawat di hospital.

Khairuddin yang juga ahli Parlimen Kuala Nerus bagaimana dalam tempoh 14 hari selepas pulang ke Malaysia menghadiri beberapa majlis umum di beberapa tempat.

Beliau juga menegaskan tidak melanggar apa-apa kesalahan.

Namun beliau meminta maaf kepada rakyat Malaysia dan memulangkan empat bulan gajinya sebagai menteri sebagai derma untuk Tabung Covid-19.

Tindakannya bagaimanapun terus dikecam kerana dianggap cuba menutup kesalahan, lebih-lebih lagi setelah pemimpin kanan PAS pun mempertahankan tindakan Khairuddin tidak patuh undang-undang.

Di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 mereka yang sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun atau denda. Hukuman penjara itu akan berganda bagi setiap kesalahan yang berulang.

Polis setakat ini sudah membuka siasatan terhadap kes Khairuddin, dan memanggil beberapa saksi termasuk tiga ahli keluarganya yang dipercayai bersama ke Turki. Laporan siasatan itu bagaimanapun sehingga ini sudah beberapa kali dipulang balik oleh Pejabat Peguam Negara untuk siasatan tambahan.

Rombak Pejabat Peguam Negara

Dalam pada itu, Fann menggesa sebuah pejabat pendakwa raya yang berasingan untuk mengendalikan kes yang melibatkan orang kenamaan.

“Selagi reformasi ini tidak berlaku, kebebasan pendakwaan, integriti peguam negara dan kehakiman akan terus dipertikaikan,” katanya.

Peguam Haniff Khatri Abdullah pula berkata beliau faham ada beberapa aspek dalam kes itu yang perlu disiasat lanjut, namun pendakwaan terhadap Khairuddin tidak boleh ditangguh.

“Saya tahu kes ini sudah terlalu lama. Ia menjejaskan imej pihak berkuasa tetapi faham kepada kertas siasatan dihantar semula kepada pihak polis.

“Ada beberapa isu yang pihak berkuasa perlu lihat dan maklumat yang pihak pendakwa raya perlukan daripada polis.

“Polis perlu maklumat yang terperinci. Bagaimanapun siasatan boleh selesai dalam masa tidak kurang dua bulan.

“Kalau pendakwa raya tidak dakwa Khairuddin segera, ia akan mencemarkan nama baiknya sendiri,” kata Haniff.

Menurut Haniff, Muhyiddin boleh juga memecat Khairuddin dari kabinetnya kerana melanggar peraturan kuarantin.

“Pentadbiran Muhyiddin yang tetapkan peraturan itu tetapi menteri gagal mematuhinya. Perdana menteri patut pecat beliau dan jadikan teladan kepada rakyat,” katanya.

100 selepas tiada juga tindakan ke atas Khairuddin, media sosial hari ini kembali riuh dengan beberapa komen mengenai sikap pilih kasih kerajaan dalam menguatkuasa peraturan yang ia tetapkan sendiri. – 15 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen