Speaker jelaskan mengapa usul undi tidak percaya di hujung senarai perbahasan


Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun berkata setiap usul yang dikemukakan akan dikendalikan mengikut undang-undang sedia ada.– Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Oktober, 2020.

SPEAKER Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun menjelaskan mengapa usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin diletakkan di penghujung senarai perbahasan.

Azhar berkata kedudukan usul undi tidak percaya di penghujung peraturan mesyuarat bukanlah unik di Malaysia.

“Perlu saya tegaskan bahawa kedudukan usul undi tidak percaya di dalam peraturan mesyuarat Dewan Rakyat bukanlah unik kepada sistem yang kita amalkan.

“Malah, sistem yang di amalkan di Australia juga hampir serupa dengan amalan kita di mana sesuatu usul undi tidak percaya itu tidak akan dipercepatkan perbahasannya tanpa penerimaan oleh seorang menteri,” katanya dalam satu kenyataan menjawab kenyataan Tengku Razaleigh yang mempersoalkan kedudukan usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri dalam peraturan mesyuarat.

Persoalan Tengku Razaleigh berhubung usul berkenaan dan jawapan Azhar viral di media sosial.

Bagaimanapun, Azhar berkata setiap usul yang dikemukakan akan dikendalikan mengikut undang-undang sedia ada.

Dalam jawapan balasnya kepada Tengku Razaleigh, Azhar berkata urusan kerajaan hendaklah didahulukan berbanding urusan lain.

“Usul tersebut telah disenarai di dalam aturan urusan mesyuarat mengikut peraturan-peraturan mesyuarat, namun urusan kerajaan perlu didahulukan seperti yang termaktub di bawah peraturan-peraturan mesyuarat,” kata Azhar.

Tengku Razaleigh yang menjadi ahli Parlimen Gua Musang selama 11 penggal, dalam suratnya kepada speaker meminta usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin diberi keutamaan.

Dalam surat bertarikh 25 September, Tengku Razaleigh berkata Parlimen perlu membenarkan usul ini agar sokongan ahli Parlimen terhadap Muhyiddin sebagai perdana menteri dapat disahkan mengikut perlembagaan persekutuan.

Ahli politik veteran itu juga berkata Parlimen meletakkan usul undi tidak percaya pada hujung senarai perbahasan, sekali gus menghalang Parlimen daripada membahaskan isu itu sebelum persidangan tamat.

Kedudukan Muhyiddin sebagai perdana menteri goyah berikutan Umno yang tidak gembira dengan kerajaan Perikatan.

Tengku Razaleigh yang juga penasihat Umno menghadap Yang di-Pertuan Agong semalam selepas Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim memberitahu pemberita beliau menyerahkan dokumen kepada Agong yang menunjukkan beliau mendapat lebih banyak sokongan ahli Parlimen berbanding Muhyiddin. – 14 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen