Penduduk Klang perlu ikut SOP PKPB Selangor, kata menteri


Aminah Farid

SOP PKPB Mukim Klang terbatal kerana seluruh Selangor kini di bawah PKPB, kata Ismail Sabri Yaakob. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Oktober, 2020.

SEMUA prosedur operasi standard (SOP) yang dikuatkuasa di Klang selaras dengan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di kawasan itu terbatal kerana seluruh Selangor kini diletakkan di bawah PKPB, kata Ismail Sabri Yaakob.

Menteri kanan itu berkata, seluruh Selangor akan mengikuti SOP serupa.

“Sebelum ini kerajaan mengumumkan PKPB untuk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula hari ini, dan kerana Klang di Selangor, SOP kawasan itu secara automatik terbatal susulan pengumuman PKPB seluruh Selangor,” katanya pada sidang media maya, hari ini.

Isnin lepas, Putrajaya mengumumkan yang Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya diletakkan di bawah PKPB bermula hari ini sehingga 27 Oktober selepas berlaku lonjakan kes Covid-19 di Lembah Klang terutama di daerah Klang, Petaling dan Gombak.

Semalam pula, SOP diumumkan untuk perniagaan, industri dan aktiviti ekonomi sepanjang PKPB.

Waktu operasi perniagaan juga dihadkan kepada 6 pagi sehingga 10 malam sahaja.

Restoran, trak makanan, penjaja, medan selera, kiosk, peniaga jalanan, kedai runcit dan serbaneka juga hanya dibenar beroperasi bermula jam 6 pagi sehingga 10 malam.

Manakala, hanya dua orang dibenarkan keluar rumah untuk tujuan mendapatkan bekalan makanan dan keperluan lain.

Pasar basah dan malam pula hanya dibenarkan dibuka bermula jam 6 pagi sehingga 4 petang.

Pergerakan rentas daerah dan negeri pula hanya dibenarkan untuk tujuan kerja dan kecemasan, mereka yang perlu melakukan perjalanan rentas sempadan perlu mendapatkan kebenaran polis.

Bagi pekerja dalam daerah sama, mereka tidak perlu mendapatkan permit, surat majikan atau pas kerja.

Semalam, Malaysia melaporkan 660 kes jangkitan coronavirus baharu, 350 pulih dan empat lagi maut, menjadikan jumlah korban wabak Malaysia naik kepada 163 orang. – 14 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen