Bank jangka pertumbuhan pinjaman isi rumah catat pemulihan


Bnk-bank menjangkakan beberapa pemulihan dalam pertumbuhan pinjaman isi rumah pada separuh kedua, kata BNM, dalam Laporan Tinjauan Kestabilan Kewangan - Separuh Pertama 2020 yang dikeluarkan hari ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Oktober, 2020.

BANK-bank menjangkakan beberapa pemulihan dalam pertumbuhan pinjaman isi rumah pada separuh kedua 2020 di tengah-tengah kos pinjaman yang rendah dan persekitaran pasaran buruh yang lebih baik, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

BNM dalam Laporan Tinjauan Kestabilan Kewangan—Separuh Pertama 2020 yang dikeluarkan hari ini, berkata keadaan pembiayaan telah disokong oleh kos pinjaman yang lebih rendah susulan pelonggaran dasar monetari baru-baru ini. 

“Berbeza dengan pinjaman perniagaan, permintaan untuk pembiayaan oleh isi rumah secara amnya lebih lemah, mencerminkan pendapatan serta prospek pekerjaan  yang tidak menentu,’’ tambahnya.

Laporan itu turut mendedahkan bahawa kedudukan sistem perbankan adalah positif untuk menyokong aliran kredit kepada sektor sebenar kerana ekonomi secara beransur-ansur mula pulih. 

Pinjaman sistem perbankan mencatatkan pertumbuhan tahunan sebanyak 4.1% setakat Jun, selepas didorong oleh pertumbuhan pinjaman perniagaan yang tertunggak dalam sektor perdagangan borong dan runcit, hotel serta restoran, dan pembuatan. 

‘‘Berikutan kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dibuat secara berperingkat, pengagihan yang tinggi bagi keperluan modal kerja telah direkodkan pada Jun. Terdapat juga permintaan yang kukuh untuk pinjaman di bawah Kemudahan Bantuan Khas (SRF) dan dana lain yang diwujudkan oleh bank bagi PKS,” katanya lagi.

Bagaimanapun, BNM juga melaporkan bahawa cabaran utama kepada bank-bank dalam memantau perkembangan risiko kredit dalam tempoh ini adalah ketiadaan maklumat pembayaran balik peminjam disebabkan oleh liputan meluas moratorium pinjaman.

‘‘Sebagai tindak balas kepada itu, bank-bank telah mengambil langkah proaktif untuk menilai dan menguruskan risiko dengan melibatkan peminjam secara lebih langsung mengenai prospek pemulihan mereka; meningkatkan penggunaan analisis data dan sumber maklumat alternatif (seperti kadar penggunaan kemudahan, kitaran penukaran tunai, dan baki akaun operasi) untuk mewujudkan keadaan peminjam; dan bekerjasama dengan agensi pelaporan kredit bagi mengenal pasti petunjuk amaran awal.

‘‘Ini membolehkan bank mengenal pasti pinjaman dengan risiko kredit yang lebih tinggi dan melaksanakan tindakan awal dengan membina peruntukan terhadap potensi kerugian pada masa depan untuk menjamin daya tahan mereka.

“Peruntukan bagi pinjaman yang diklasifikasikan sebagai Peringkat 2 di bawah MFRS 9 meningkat sebanyak RM1.7 bilion pada separuh pertama 2020 (Jun:27.9% pertumbuhan tahunan; 2019: -5.9%), didorong oleh perniagaan yang paling terjejas akibat pandemik itu. – Bernama, 14 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen