Pihak berkuasa hukum industri hiburan, kata pemilik


Angie Tan

Tidak seperti sektor ekonomi lain yang telah dibenarkan beroperasi semula di bawah perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), kelab malam, pub dan pusat hiburan masih ditutup. – Gambar AFP, 11 Oktober, 2020.

WALAUPUN kelab malam dan pub tidak dibenarkan beroperasi semula oleh kerajaan kerana pandemik Covid-19, namun ada juga yang beroperasi secara haram, akui pengusaha sektor ini.

Mereka turut mengadu bahawa sementara pengusaha lain mengubah model perniagaan mereka menjadi restoran dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP), mereka tetap dikenakan hukuman oleh penguatkuasa.

“Sebahagian pengusaha tidak mampu bertahan tanpa pendapatan selama tujuh bulan, mereka juga harus membayar sewa dan gaji. Banyak yang terpaksa beroperasi secara senyap,” kata Khoo Kong Ek, penasihat kepada sekumpulan usahawan Johor dalam sektor hiburan iaitu Persatuan Pengusaha Pusat Hiburan Negeri Johor.

Tidak seperti sektor ekonomi lain yang telah dibenarkan beroperasi semula di bawah perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), kelab malam, pub dan pusat hiburan masih ditutup sejak PKP dikenakan sejak Mac.

Khoo berkata, beberapa pengusaha terpaksa mengambil risiko dan beroperasi secara haram kerana mereka tidak sanggup menanggung kerugian lagi.

Banyak dalam sektor ini merasa ditinggalkan dan diabaikan oleh kerajaan, tanpa ada pilihan atau cadangan untuk kelangsungan hidup perniagaan mereka.

Berbanding menutup sepenuhnya, kerajaan boleh mencadangkan mengemukakan petunjuk atau garis panduan untuk sektor ini, contohnya seperti mengizinkan ianya beroperasi bergantung pada jumlah kes Covid-19 di zon atau daerah tertentu.

“Kelab mungkin boleh dibenarkan untuk dibuka semula jika cuma ada satu digit dalam sebulan, atau tidak ada kes langsung dalam tempoh dua minggu.

“Mungkin perlu ada semacam panduan untuk kita rujuk, tetapi tidak ada, dan kita hanya duduk di sini dan tunggu sahaja.

“Jika terdapat beberapa jenis garis panduan, pengusaha di sektor ini dapat menilai apakah mereka boleh terus beroperasi atau menutup perniagaan atau mengubah model perniagaan,” kata Khoo.

Beliau berkata, persatuan pengusaha sentiasa menekankan supaya pengusaha mematuhi peraturan, dan tidak akan bertanggungjawab atau terlibat jika kedai ingin beroperasi secara haram dan dikenakan hukuman.  – 11 Oktober, 2020.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen