Muda yang seharusnya lebih ‘muda’


MINGGU ini kita menyaksikan tularnya #PauseMalaysia yang diketuai Syed Saddiq dan parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Tujuannya untuk cuba menghentikan permainan politik ketika Malaysia berhadapan dengan gelombang ‘ketiga’ Covid-19.

Tiga tawaran yang diberi oleh #PauseMalaysia iaitu: Pertama, tempoh berdamai daripada perebutan kuasa.

Kedua, tiada pilihan raya selagi Covid-19 masih ada. Ketiga, semua parti politik duduk semeja menyelesaikan isu rakyat.

Jika semangat dalam cadangan ini dilakukan enam dekad yang lalu oleh ahli politik, mungkin politik Malaysia lebih matang.

Tetapi, apa yang diajar kepada rakyat Malaysia selama ini tentang politik bukanlah satu perkara yang ‘skema’ seperti #PauseMalaysia.

Seringkali ahli politik beretorik untuk mengutamakan kepentingan rakyat dahulu dalam setiap ucapan, tetapi bila sudah dapat kuasa, lain pula jadinya.

Bagi orang politik, percaturan politik itu lebih membawa kesan yang besar kepada mereka walaupun sesaat atau seminit.

Lihat sahaja bagaimana percaturan politik ‘Abah’ semasa langkah Sheraton, lima buah kerajaan negeri yang dipilih rakyat tumbang tidak sampai enam bulan.

Kenapa usaha menyelesaikan masalah ekonomi jadi kepentingan kedua kebanyakan menteri dan kerajaan?

Krisis ekonomi selalunya mengambil masa yang agak panjang untuk pulih. Contohnya, krisis kewangan Asia pada tahun 1997 di Malaysia hanya pulih sepenuhnya pada tahun 2004 ketika Pak Lah menjadi perdana menteri.

Itupun kita masih rasa lagi impak krisis 1997 pada ekonomi negara seperti kadar pengangguran dan gaji yang makin rendah.

Itulah formula orang ‘lama’  dalam politik Malaysia. Pengaruhnya masih kuat, sama ada diperingkat atas mahupun lapangan.

Formula ini masih belum digarab dan dimatikan sehingga hari ini, termasuk MUDA dan Syed Saddiq.

Sebab itu juga, kerajaan ‘Abah’ terpaksa bermain politik untuk mendapat sokongan politik. Kerajaan tanpa mandat kukuh tidak boleh bawa ekonomi negara ke tahap yang baik. Pendek cerita, tiada hala tuju.

Sebenarnya, Muda telah menunjukkan kebolehan yang agak ‘luar biasa’ apabila berjaya mengutip dana bagi membantu siswa dalam kesusahan akibat keputusan  ‘U turn’ Kementerian Pengajian Tinggi.

Siapa sangka, Muda lebih ke hadapan daripada sayap muda parti politik yang lain dalam membantu mahasiswa dan ibu bapa yang kesusahan seperti sepantas kilat.

Ebit Liew pun ketinggalan dalam persaingan membuat amal jariah kepada mahasiswa dengan parti Muda.

Tetapi, saya cuba memahami, selepas kejayaan yang ditonjolkan muda dalam membantu mahasiswa, kenapa tiba-tiba nak berkempen #PauseMalaysia? Ini satu usaha yang amat merugikan.

Akhirnya ada juga pengkhianat dalam Perikatan Nasional cuba menyendeng di bahu Syed Saddiq bersetuju dengan cadangan #PauseMalaysia.

Ada pula di belah pihak pembangkang ‘rotan’ Muda habis-habisan kerana gagal membaca sentimen rakyat.

Muda kini tersepit ditengah-tengah, dikritik kiri dan kanan lawannya yang besar, seperti apa yang dikata oleh Mat Sabu “When elephent fight, grass suffer”.

Kelihatan politik Muda dalam isu #PauseMalaysia diceduk daripada semangat ‘tua’ yang cepat emosi dan melatah. Mungkin, Muda dan Syed Saddiq boleh cuba kaji semula mengapa hal ini berlaku.

Berkata tentang betapa pentingnya semangat muda berpolitik, kita melihat bagaimana pemimpin dahulu terus ‘bersemangat muda’ dalam percaturan politik sehingga hari ini.

Lihat sahaja bagaimana ahli-ahli ‘Team Wawasan’ dalam Umno pada tahun 1993: Anwar Ibrahim, Najib Razak, dan Muhyiddin yang kini  usianya sudah dan hampir 70 tahun ke atas, tetapi percaturan politik dan tenaga mereka masih lagi muda nauzubillah.

Ini termasuk ‘master’ mereka bertiga, Mahathir Mohamad yang pernah menjadi mentor Syed Saddiq, lebih berjiwa muda merebut kuasa politik meskipun umurnya akan mencecah tiga angka, Insyallah.

Apa yang jelas, Anwar Ibrahim, Najib Razak, Muhyiddin dan Mahathir terus bertembung sesama sendiri untuk menjadi pemimpin nombor wahid negara.

Ini belum masuk semangat ‘muda’ Lim Kit Siang, Musa Aman, Jeffery Kitingan, Shafie Apdal, Hadi Awang, Tengku Razaleigh Hamzah dan Mat Sabu yang terus konsisten dalam perjuangan politik.

Muda seharusnya perlu lebih ‘muda’ menyusun strategi dan naratif politik , yang bukan sahaja menguntungkan rakyat, tetapi perebutan kuasa politik mereka sendiri.

Syed Saddiq dan Muda mempunyai perjalanan yang lebih panjang dan mencabar. Dalam perjalanan ini, sikap emosi atau marah dalam  membuat tindak balas politik amat merugikan kerana tenaga politik itu perlu disalurkan ke arah perubahan yang lebih besar, bukan cuba untuk mengejar populis dalam ruang politik negara.

Ini tidak bermaksud budaya politik lama perlu didokong sampai bila-bila. Lemahnya politik parti di Malaysia ini sehinggakan mereka tidak dapat menandingi kepantasan Muda bertindak dalam sesuatu isu.

Sedangkan ada ahli parti politik duduk di kerusi kerajaan yang mempunyai kuasa dan dana bagi melakukan perubahan.

Selagi kening Syed Saddiq masih ‘tebal’ menawan dan tidak putih, selagi itulah Muda akan terus bergerak dan berjuang dalam arena politik Malaysia.

Jangan malu-malu dalam politik, kerana perangai malu dan ambil jalan ‘selamat’ inilah yang selalunya tak jadi kerajaan. Jadilah Muda yang berjiwa besar dan memberi kesan kepada rakyat seluruhnya.

Seperti apa yang dikatakan Soekarno “Gantungkanlah Cita-citamu setinggi langit, Bermimpilah setinggi langit. Jika engkau jatuh, engkau akan jatuh di antara bintang-bintang.”

Apa salahnya kalau satu hari nanti ahli Muda dapat menjadi perdana menteri, menteri besar mahupun ahli kabinet? Bukankah ini lebih afdal dalam niat membantu rakyat?

Tetapi, jangan lama bermimpi sehingga lupa buat percaturan merealisaiskan tujuan politik dan idea baharu.

Biar politikus tua ‘tunduk’ dan hormat kepada Muda kerana naratif baru yang mampu mematikan langkah politik lama.

Persoalannya, apakah naratif baharu politik Muda dan Syed Saddiq? – 9 Oktober, 2020.

* Fakhrurrazi Rashid ialah pembaca The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen