PARTI Muda mendesak parti-parti politik menumpukan perhatian untuk melawan Covid-19 dan berhenti politik perebutan kuasa susulan peningkatan kes Covid-19 baru-baru ini.
Pengasas bersama parti Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata rakyat Malaysia semakin bosan dengan politik serta mahukan jalan penyelesaian yang baik ketika waktu sukar ini.
“Rakyat Malaysia sudah penat. Penat dengan politik perebutan kuasa. Penat dengan politik dua darjat. Penat dengan politik yang tidak bermaruah dan tidak berprinsip.
“Muda ingin mencadang dan mendesak bukan saja kerajaan tetapi bagi parti pembangkang. Hentikan perebutan kuasa politik,” katanya menerusi satu muat naik video yang disiarkan di Twitter.
Kenyataan itu dibuat selepas pengguna media sosial menuntut Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meletak jawatan selepas beberapa jam perutusan khas berkaitan situasi pandemik Covid-19 di Malaysia yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara.
Jaminan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bahawa Putrajaya tidak mengamalkan “double standard” dalam tindakan ke atas pelanggar SOP Covid-19 tidak diterima baik pengguna media sosial yang meluahkan kekecewaan mereka di ruang siber.
Tanda pagar #MuhyiddinOut digunakan dalam lebih 40,000 tuit ditulis pengguna Twitter.
Selain itu, tanda pagar #NotMyPM, #BukanAbahSaya, #Muhyiddout dan #MuhyiddinIsOut juga sohor kini di Twitter.
Muda hari ini mencadangkan kempen Pause Malaysia yang mana mereka mengusulkan tiga tuntutan untuk dipatuhi oleh semua parti politik.
“Pertama Muda menuntut agar perebutan kuasa politik dihentikan dalam masa terdekat.
“Kedua, hentikan niat untuk adakan pilihan raya umum atau pilihan raya negeri selagi kes Covid-19 berleluasa.
“Ketiga, ini adalah masa untuk kerajaan atau pembangkang duduk semeja cari jalan penyelesaian bersama dalam meletakkan kebajikan rakyat sebagai keutamaan nombor satu,” katanya. – 7 Oktober, 2020.
Komen