SEORANG wanita yang mendakwa isteri bekas presiden MIC S Samy Vellu, hari ini sekali lagi gagal dalam permohonannya untuk menjadi pencelah dalam kes saman S Vell Paari supaya keadaan kesihatan mental Samy Vellu ditentukan oleh mahkamah.
Peguam RSN Rayer yang mewakili Meeriam Rosaline Edward Paul, 59, berkata Hakim Mahkamah Tinggi Wong Chee Lin menolak permohonan kedua wanita itu selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak.
“Hakim (Wong Chee Lin) menolak permohonan ini atas alasan keputusannya (Wong Chee Lin) yang menolak permohonan sama sebelum ini adalah muktamad. Mahkamah juga memerintahkan pemohon (Rosaline) membayar kos RM5,000,” katanya kepada pemberita selepas pendengaran permohonan itu.
Ditanya, mengapa pihaknya memfailkan permohonan kedua, Rayer berkata permohonan pertama anak guamnya ditolak Wong atas alasan permohonan tersebut pramatang kerana mahkamah belum lagi memerintahkan prosiding inkuiri berhubung kesihatan mental Samy Vellu diadakan.
“Kami berpendirian, memandangkan hakim menyatakan permohonan pertama adalah pramatang, maka kami memfailkan permohonan yang sama buat kali kedua,” katanya dan memberitahu permohonan kedua difailkan pada 22 September lepas.
Peguam itu berkata pihaknya telah memfailkan rayuan terhadap keputusan bagi permohonan pertama pada 18 September manakala rayuan untuk keputusan bagi permohonan kedua akan dibuat dalam masa terdekat.
Pada 11 September lepas, Wong menolak permohonan pertama Rosaline untuk menjadi pencelah dalam kes saman Vell Paari dengan kos RM5,000 selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak dan pada hari sama mahkamah membenarkan permohonan Vell Paari supaya ayahnya menjalani pemeriksaan kesihatan mental.
Permohonan itu dibuat oleh Vell Paari dalam saman yang difailkan terhadap Samy Vellu bagi mengisytiharkan bahawa bapanya tidak mampu mengurus hal ehwal dirinya.
Vell Paari, 58, memfailkan saman terhadap Samy Vellu pada 2 Disember tahun lepas, memohon perintah mahkamah supaya satu siasatan dilakukan bagi menentukan keupayaan mental bapanya dan sama ada bekas menteri kerja raya itu mampu menguruskan diri serta hal ehwalnya.
Beliau memohon perintah bahawa satu tarikh, masa dan tempat ditetapkan untuk siasatan dapat dijalankan terhadap bapanya mengikut Seksyen 52 Akta Kesihatan Mental 2001, bagi mengetahui tempoh ayahnya menderita gangguan mental. – Bernama, 8 Oktober, 2020.
Komen