ANAK kepada bekas Presiden MIC S Samy Vellu meminta mahkamah menentukan kesihatan mental bapanya sama ada waras dan boleh menguruskan halnya sendiri, lapor The Edge Financial Daily.
S Vell Paari memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2 Disember lalu, lapor akhbar itu.
Kes itu ditetapkan untuk didengar bagi pengurusan kes di hadapan seorang timbalan pendaftar mahkamah hari ini.
Vell mengemukakan permohonan mengikut Akta Kesihatan Mental 2001, untuk menentukan apakah bekas Ahli Parlimen Sungai Siput itu seorang yang celaru mental.
Samy Vellu kini berusia 82 tahun.
Tindakan mahkamah itu juga bertujuan menentukan bila kecelaruan mental itu bermula dan apakah beliau boleh memberikan arahan kepada peguamnya.
Mahkamah juga diminta menentukan hartanah milik Samy Vellu, lapor akhbar itu.
Vell Paari dilapor memaklumkan mahkamah bahawa permohonan yang beliau kemukakan adalah dalam pengetahuan ahli keluarga, termasuk ibunya.
Mengikut saman pemula itu, Vell Paari memohon mahkamah memberi akses kepada perunding pakar sakit jiwa di Penang Advenstist Hospital, Dr Prem Kumar Chandrasekaran untuk memeriksa Samy Vellu.
Beliau juga memohon mahkamah menetapkan tarikh untuk menyiasat keadaan mental bapanya dan bekas menteri itu dibawa ke mahkamah.
Sekiranya Samy Vellu disahkan celaru mental, Vell Paari memohon agar mahkamah membenarkan beliau dan peguamnya C Vijaya Kumar, atau mana-mana pihak yang wajar, dilantik untuk sebagai anggota jawatankuasa pengurusan hartanya.
Dalam permohonannya Vell Paari memaklumkan kepada mahkamah bahawa dua pakar sebelum ini mengesahkan keadaan kesihatan mental Samy Vellu.
Laporan itu juga memetik Vell Paari berkata bahawa bekas kekasih bapanya, yang dinamakan sebagai Meeriam, telah memfailkan satu tindakan mahkamah terhadap beliau dan Samy Vellu.
Beliau bagaimanapun mahu mahkamah memutuskan terlebih dahulu permohonannya untuk menentukan keadaan kesihatan mental bapanya sebelum kes yang satu lagi itu. – 9 Disember, 2019.
Komen