Pekerja positif Covid-19, Sime Darby Property tutup ibu pejabat


Aminah Farid

SIME Darby Property menutup ibu pejabatnya di Petaling Jaya untuk proses disinfeksi selepas seorang pekerjanya sah positif Covid-19.

“Dengan kesalnya kami ingin memaklumkan yang seorang pekerja kami di ibu pejabat diuji positif Covid-19 pada 6 Oktober dan sekarang sedang menjalani rawatan di hospital kerajaan,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan dikeluarkan, hari ini.

Tambahnya, bangunan ibu pejabat juga ditutup sehingga dimaklumkan kelak.

“Semua pekerja di ibu pejabat diminta bekerja dari rumah berkuatkuasa serta merta sehingga diberitahu kelak,” kata kenyataan lagi.

Bagi mengurangkan risiko jangkitan, Sime Darby berkata pengesanan kontak rapat pekerjanya yang sah positif Covid-19 akan dijalankan.

“Mereka yang menjadi kontak rapat akan dimaklumkan serta merta dan dihendaki menjalani kuarantin kendiri empat belas hari serta merta.

“Pekerja seluruh kumpulan yang melawat Tingkat 3, ibu pejabat Sime Darby Property sejak Isnin, 28 September, juga dihendaki menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari,” kata kenyataan lagi.

Syarikat juga berkata semua kos ujian saringan Covid-19 untuk kakitangannya akan ditampung syarikat insurans.

“Pekerja akan dibenarkan untuk mengambil barangan mereka dari ibu pejabat selepas proses disinfeskasi selesai- pemberitahuan akan dibuat selepas proses itu disempurnakan.”

Semalam, Malaysia melaporkan 619 kes baharu Covid-19 dengan empat kematian.

Daripada jumlah itu, 688 adalah kes jangkitan tempatan dengan 397 daripadanya dikesan di Kedah dan 219 di Sabah.

Kes baharu semalam menjadikan jumlah keseluruhan kes negara mencecah 13,504.

Kes aktif sekarang adalah 2,936 dengan 31 pesakit dalam ICU dan lapan memerlukan bantuan alat pernafasan.

Daripada empat kematian semalam, tiga dilaporkan di Sabah dan satu di Pulau Pinang, menjadikan korban wabak koronavirus negara kini berjumlah 141 orang.

Salah satu kematian semalam melibatkan seorang bayi perempuan berusia setahun warga Malaysia, korban termuda wabak. – 7 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen