Hati-hati dengan diskaun, rebat tunai hartanah tak masuk akal


Khoo Gek San

Industri hartanah masih berkembang baik walaupun ekonomi negara lembap disebabkan Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Oktober, 2020.

PEMAIN sektor hartanah memberi amaran kepada pembeli supaya berhati-hati dengan diskaun dan rebat tunai ditawar pemaju dan ejen sepanjang musim Covid-19.

Ini kerana disebalik harga menarik ini adalah harga hartanah yang sengaja dinaikkan pemaju ketika mengisytiharkannya kepada bank, kata mereka, mendesak bakal pembeli supaya menilai tawaran itu dengan lebih teliti.

Zaini bin Yusoff, naib presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Redha), memberitahu The Malaysian Insight yang bank menghendaki pemaju mengisytiharkan jumlah diskaun dan rebat tunai yang diberi.

“Kami tidak menggalakkan pemaju memberikan rebat yang terlalu tinggi, kerana ia boleh memberi kesan kepada permohonan pinjaman pembeli rumah,” katanya.

Ketua Pegawai Operasi Mah Sing Benjamin Ong berkata pembeli patut berhati-hati dengan individu yang bertindak sebagai ejen atau orang tengah tetapi tidak mempunyai lesen untuk bekerja dalam bidang jualan hartanah.

Ejen ini akan memberikan janji luar biasa seperti menjamin pembiayaan bank sehingga 90% dan rebat tinggi hartanah tertentu.

Ong berkata bank akan lebih teliti meluluskan pinjaman untuk hartanah bernilai tinggi yang harga asal dan nilai diisytiharkan pemaju mempunyai perbezaan besar. Perbezaan ini akan membolehkan pemaju menawarkan rebat yang menarik.

Misalnya, harga asal rumah adalah RM1 juta tetapi ia diisytiharkan sebagai bernilai RM1.5 juta oleh pemaju kepada bank. Pemaju kemudian memberikan pembeli diskaun tunai RM500,000.

“Kerajaan membenarkan pemaju memberikan diskaun sekurang-kurangnya 10% tetapi diskaun sehingga 40% lebih rumit (prosesnya).

“Pemaju lama tidak akan buat begini, tetapi pemaju kecil mungkin buat begini untuk dapatkan wang tunai dan teruskan operasi,” kata Ong.

Bank juga umumnya lebih yakin kepada pemaju lebih besar dan lama beroperasi.

Kadar diskaun dan rebat tunai diberikan pemaju perlu bersesuaian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Oktober, 2020.

Katanya, Mah Sing memastikan semua agen kumpulan itu tidak menyebarkan khabar angin atau membuat dakwaan palsu semata-mata untuk merangsang transaksi perumahan.

“Jika mereka haram (tidak berlesen), mereka tidak akan diambil bekerja. Kami juga bekerjasama dengan bank untuk menghalang pembeli rumah daripada tertipu.”

Steve Chong Yoon On, bekas pengerusi Redha Johor, juga bersetuju yang ada pemaju tidak bertanggungjawab menaikkan harga hartanah sesuka hati dan kemudiannya menawarkan rebat sehingga 20%.

“Bila bank tengok pemaju naikkan hartanah sesuka hati, mereka akan lebih berhati-hati meluluskan pinjaman perumahan.

“Bukanlah kerana bank ada kadar penolakan permohonan pinjaman yang tinggi. Ia adalah kerana pemaju letak harga terlalu tinggi dan kemudiannya beri diskaun tinggi. Ini cara tidak sihat buat promosi,” kata Chong.

Bila beli hartanah, pembeli sepatutnya memeriksa dahulu reputasi pemaju, nasihat Chong. Mereka juga patut mendapatkan penilaian profesional ke atas kawasan hartanah dan bercakap dengan penduduk kawasan itu.

Walaupun kelembapan ekonomi berlaku kerana pandemik Covid-19, ejen hartanah melaporkan pertumbuhan dalam pertanyaan dan jualan hartanah, terutama daripada kumpulan berpendapatan tinggi yang mempunyai aliran tunai baik.

Situasi turut dirangsang oleh insentif kerajaan serta kadar faedah yang rendah menjadikan pelaburan hartanah lebih menarik berbanding pelaburan simpanan deposit tetap.

Bank Negara juga mengumumkan penurunan Kadar Dasar Semalam (OPR) kepada 1.75% setakat 7 Julai, malah pakej rangsangan ekonomi kerajaan untuk mengurangkan kesan wabak Covid-19 juga menyasarkan jualan hartanah.

Ini termasuklah:

(1) Pelancaran semula Kempen Pemilikan Rumah (HOC) yang mana pembeli rumah pertama berharga antara RM300,000 hingga RM2.5 juta dikecualikan daripada bayaran duti setem. Tawaran ini bermula sejak 1 Jun lalu hingga 31 Mei 2021. Syarat tandangan perjanjian jual beli (SPA) juga menetapkan pemaju memberikan diskaun sekurang-kurangnya 10%.

(2) Warganegara Malaysia yang menjual hartanah mereka daripada 1 Jun tahun ini hingga 31 Disember 2021 akan dikecualikan daripada membayar Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT) terhad kepada jualan tiga rumah setiap seorang.

(3) Had marjin pembiayaan sehingga 70% terpakai kepada hartanah kediaman ketiga bernilai antara RM600,000 dan ke atas akan dibatalkan. – 7 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen