Sokongan Melayu luar bandar Dr Mahathir lebih kuat berbanding Anwar


Amin Iskandar

Tarikan utama PH pada masa ini ialah Dr Mahathir Mohamad dengan pengundi Melayu luar bandar juga memilihnya, berbanding Anwar Ibrahim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Disember, 2017.

TARIKAN utama Pakatan Harapan (PH) pada masa ini ialah Dr Mahathir Mohamad kerana beliau lebih popular dalam kalangan pengundi Melayu terutama dari kawasan luar bandar, berbanding Anwar Ibrahim, kata Timbalan Presiden PH Mohamad Sabu kepada The Malaysian Insight.

Dr Mahathir ialah perdana menteri paling lama berkhidmat selama 22 tahun sehingga 2003 tetapi pemimpin berusia 93 tahun itu kini mengetuai pakatan pembangkang untuk menggulingkan Perdana Menteri Najib Razak dan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang kukuh di luar bandar.

“Dalam kalangan orang Melayu kampung, saya nampak sokongan kepada Dr Mahathir tu agak tinggi berbanding dengan Anwar semasa mengepalai Pakatan Rakyat.

“(Waktu Anwar) ada sokongan di Pantai Barat, Melayu kelas pertengahan. Dan sekarang ni saya nampak disokong kuat orang kampung.

“Misalnya di Langkawi, di felda. Saya nampak ada nilai tambah selepas Dr Mahathir memimpin,” katanya.

Dalam sesi retreat PH di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya awal bulan ini, dicadangkan Dr Mahathir menjadi calon perdana menteri dan Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalan perdana menteri.

Bagaimanapun, ia tidak dapat diumumkan kerana terdapat bantahan daripada beberapa pemimpin PKR.

Dr Mahathir berkata pada Selasa, beliau bersedia untuk dinamakan sebagai perdana menteri sekiranya PH “terdesak” dan tidak mempunyai calon lain.

Mohamad yang lebih mesra dengan panggilan Mat Sabu berkata dalam menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri PH, tidak perlu ada istilah “interim” atau sementara.

“Kalau PH boleh terima, tak ada masalah Dr Mahathir untuk jadi calon perdana menteri.

“Tak payah sebutlah sementara, interim, memang dia sementara. Dengan umur dia, keadaan dia. Saya bimbang dengan umur dia, saya doakanlah umur dia masih panjang,” katanya.

Presiden Amanah Mohamad Sabu (tiga dari kiri) berkata kepimpinan Dr Mahathir Mohamad memberikan nilai tambah kepada Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Disember, 2017.

Mohamad berkata kontroversi demi kontroversi yang melanda Dr Mahathir tidak menjejaskan kedudukannya sebagai “daya penarik” nombor satu PH.

Katanya, watak Dr Mahathir dari dulu sampai sekarang tidak pernah berubah dan sifat “degil” bekas perdana menteri itu menjadikannya popular.

“Saya lihat ke mana saja dia pergi, terutamanya program ceramah umum dia masih jadi daya penarik nombor satu di Malaysia sekarang,” katanya.

The Straits Times Singapura melaporkan pada Rabu persengketaan antara Dr Mahathir dengan Sultan Selangor boleh menjejaskan sokongan kaum Melayu terhadap PH yang kini diketuai bekas perdana menteri itu.

Minggu lalu Dr Mahathir dan isterinya Dr Siti Hasmah Mohd Ali memulangkan darjah kebesaran yang diterima dari Istana Selangor selepas Sultan Sharafuddin Idris Shah mengkritiknya dalam satu wawancara bersama akhbar The Star.

Terbaru, polis menyiasat Dr Mahathir berhubung kenyataannya tentang komuniti Bugis dalam ceramah anjuran PH di Petaling Jaya pada Oktober.

Mohamad berkata sejak Dr Mahathir memimpin PH, gabungan itu lebih tersusun berbanding dengan Pakatan Rakyat dulu.

“Sekarang berbeza berbanding dulu. Sekarang kita boleh bermesyuarat di peringkat negeri atas nama PH.

“Macam kita nak turun himpunan di depan kedutaan Amerika Jumaat ini, juga atas nama PH dan kita bekerjasama dengan NGO,” kata Mohamad yang pernah ditahan selama dua kali mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada zaman pemerintahan Dr Mahathir.

PH dianggotai PKR, Bersatu, DAP dan Amanah. Sebelum ini sejak 2008, Pakatan Rakyat dianggotai PKR, DAP dan PAS sebelum berpecah pada 2015.

PAS tidak menganggotai PH tetapi menubuhkan Gagasan Sejahtera bersama Parti Ikatan yang dipimpin bekas menteri kabinet Abdul Kadir Syeikh Fadzir.

Berikut merupakan petikan wawancara The Malaysian Insight bersama Mohamad.

TMI: Apakah kontroversi melanda Dr Mahathir akan jejaskan PH?

Mat Sabu: Watak dia daripada muda sampai sekarang tidak berubah. Dia mengutarakan pandangan dia kadang-kadang mengundang kontroversi dan sebagainya.

Dan itulah dia Mahathir. Dan dia pernah mempunyai kontroversi besar sehingga dipecat daripada Umno pada zaman Tunku Abdul Rahman.

Bahkan dia popular kerana dalam bahasa Kedah kita panggil ‘ketegaq’ (degil). Dia ada sifat ketegaq tu, itu yang menyebabkan beliau popular.

Kemudian bila dia jadi perdana menteri, dia membuat beberapa “kekecohan” dalam minda masyarakat biasa. Buy British Last, kemudian Dasar Pandang Ke Timur, kemudian dia mengkritik kuat Perdana Menteri Australia Paul Keating.

Dia ni manusia yang sentiasa timbul kontroversi. Begitu juga hal-hal agama. Kadang-kadang pandangannya itu juga timbul kontroversi.

Cuma Mahathir ni dia seorang yang tidak melatah apabila diserang balik. Dia terima sebagai perkara biasa. Dan saya yakin kontroversi yang berlaku sekarang ni bagi Mahathir dia boleh hadapi.

TMI: Bagaimana kepimpinan Dr Mahathir dalam PH?

Mat Sabu: Makin hari boleh diterima. Memang di peringkat awal ada pelbagai kontroversi terutama sekali mereka lihat rekod dia sebagai perdana menteri dulu.

Tapi makin lama makin diterima, kerana dilihat terutama sekali kerana orang awam menerima beliau sebagai pemimpin.

Ini yang saya rasa pihak lawan rasa bimbang dengan beliau. Terutama sekali sokongan Melayu terhadap dia tu, termasuk generasi muda.

Kehadiran Presiden Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad sentiasa menjadi tarikan utama di majlis ceramah dengan orang ramai datang untuk melihatnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Disember, 2017.

Di peringkat awal dulu ada kontroversi. Bila Dr Mahathir turun demonstrasi menentang GST, ada laungan-laungan yang mengejek dan memaki hamun beliau.

Doa yang dibaca juga mengkritik beliau. Tapi Mahathir ini seorang yang cekal, bagi dia bila hadir program Otai Reformasi, ada suara-suara yang menjerit menghentam beliau.

Beliau tetap bersahaja. Dan dia saya rasa Mahathir ni seorang manusia yang boleh hadapi kritikan.

TMI: Apakah perbezaan kepimpinan Anwar Ibrahim semasa Pakatan Rakyat dan Dr Mahathir kini dalam PH?

Mat Sabu: Anwar dia ada style tersendiri. Anwar juga popular dalam kalangan masyarakat.

Tapi dalam kalangan orang Melayu kampung, saya nampak sokongan kepada Mahathir tu agak tinggi berbanding dengan Anwar semasa mengepalai Pakatan Rakyat.

(Waktu Anwar) ada sokongan di Pantai Barat, ‘middle class’ Malay. Dan sekarang ni saya nampak disokong kuat orang kampung. Misalnya di Langkawi, di Felda. Saya nampak ada nilai tambah selepas Dr Mahathir memimpin.

Sekarang berbeza berbanding dulu. Sekarang kita boleh bermesyuarat di peringkat negeri atas nama PH.

Macam kita nak turun himpunan di hadapan kedutaan Amerika Jumaat ini, juga atas nama PH dan kita bekerjasama dengan NGO.

Sidang akhbar kelmarin juga dalam isu ini kita buat atas nama PH, itu yang beza. Sekarang lebih tersusun. Jadi kita yakin rakyat melihat juga kalau kita boleh susun dengan baik mereka boleh beri keyakinan.

Dulu masa Pakatan Rakyat kita juga bersama tapi bukan kata bergaduh tapi tidak ada misalnya kenyataan bersama ini ada, tapi tidak sekerap sekarang.

Sebab pengerusi sendiri kata kalau kita tak tunjuk perpaduan, rakyat tak akan sokong kita. Dr Mahathir kata, BN menang dan lama berkuasa bukan kerana mereka kuat, tetapi kerana perpaduan.

Rakyat lihat BN cuma satu. Bukan MIC atau Umno, MCA ke, Gerakan ke, yang dilihat BN. Dia mahu Pakatan juga jadi macam tu. Dia mahu yang dilihat PH.

Itu yang dia tekankan selalu setiap kali permulaan mesyuarat. Dia tekankan soal itu. – 14 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • itu dulu..sekarang dua-dua dah tak kuat..penyokong luar bandar sekarang sudah pandai menilai..

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan