Sungai tercemar, penternak kerang di Selangor rugi besar


Mohd Farhan Darwis

Kahar Buntal mengangkat sangkar kerangnya di Jeram, Kuala Selangor. Beliau mengeluh hasil kerang yang semakin berkurangan disebabkan pencemaran sungai. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 29 September, 2020.

PENCEMARAN sungai yang tidak berkesudahan di kawasan pantai barat Selangor menjejaskan kehidupan nelayan, terutamanya penternak kerang di Klang, Kuala Selangor, dan Sabak Bernam, kata nelayan dan pengusaha kerang.

Masalah itu sudah berlarutan sekurang-kurangnya sejak 10 tahun lalu sehingga menyebabkan hasil kerang berkurangan dan masih belum dapat diselesaikan sampai sekarang, kata mereka.

Nelayan tradisional di Kuala Selangor, Kahar Buntal, 68, memberitahu pencemaran sungai di kawasannya, yang menganjur dari Kepong di Kuala Lumpur, sudah berlaku sejak 2012 sehingga menyebabkan mereka tidak lagi dapat mengutip kerang.

“Banyak faktor yang mengakibatkan pencemaran di sepanjang laluan itu.

“Kita yakin ia berpunca daripada kawasan kilang termasuk kilang pemprosesan bahan kitar semula,” katanya, ketika ditemui The Malaysian Insight di Kuala Selangor, baru-baru ini.

Kahar yang mengusahakan kebun kerang sejak 2008 berkata pencemaran sungai lebih kerap berlaku sekarang tanpa mengira keadaan cuaca dan air sungai.

Jelasnya, mereka malah dapat melihat air sungai bertukar warna menjadi hitam dan berbau busuk, jika cuaca panas berlarutan dan air sungai tidak mengalir deras.

“Bukan kira air mati… (pencemaran sungai) tak kira (keadaan) air, air mati ke air besar ke, hujan atau tak hujan, ada masanya kalau nak buang air pencemaran mereka buang.

“Ada masanya seminggu berterusan, kita bising (buat aduan pencemaran) berhenti, kalau kita tak bising, (pencemaran) berterusan.

“Air sungai berubah menjadi hitam, bersih lagi air longkang kita, dan berbau busuk hingga kelihatan tompokan hitam yang dipercayai minyak yang dibuang ke dalam sungai timbul ‘berkeping-keping’ di permukaan air,” katanya.

Menurut Kahar, pembuangan sisa cemar ke sungai biasanya dibuat pada waktu malam.

Tambahnya, pencemaran air di kawasan itu juga kebiasaannya akan bermula pada waktu malam.

Nelayan menimbang kerang di jeti di Jeram, Kuala Selangor. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 29 September, 2020.

“Kesannya dapat dilihat sampai ke siang. Kita ke laut hari-hari tahulah keadaan air itu macam mana,” katanya.

Kesan pencemaran itu turut dirasai oleh nelayan, yang mengalami gatal kulit terutama di bahagian pergelangan kaki mereka.

“Kalau kita berjalan dekat tanah, kaki pun hitam… banyak kawan saya pergi ke klinik kerana gatal-gatal kulit. Saya ini pun sama, sedap menggaru, sampai melecet,” katanya, sambil menunjukkan pergelangan kakinya yang berbekas akibat digaru.

Hasil kutipan kerang merosot lebih 90%

Projek penternakan kerang di kawasan berkenaan dimulakan atas inisiatif kerajaan negeri Selangor sejak 2008 dengan penyertaan nelayan tradisi secara berkumpulan.

Setiap lot kebun kerang akan diusahakan dengan keahlian antara lima hingga 10 orang nelayan.

Sejumlah 200 lot kebun kerang dengan keluasan hampir 10,000 hektar telah diwujudkan dengan purata keluasan sekitar 50 hektar bagi setiap lot.

Melalui projek itu, setiap peserta disasarkan akan memperolehi pendapatan sekitar RM2,500 hingga RM3,000 sebulan.

Data Jabatan Perikanan Malaysia bagaimanapun merekodkan penurunan mendadak hasil kutipan kerang sejak 2010, dua tahun selepas projek kebun kerang itu berjalan sehingga ke tahun 2015.

Pengeluaran hasil kebun kerang itu merekodkan sekitar 41,410.06 metrik tan pada 2010, jatuh mendadak kepada hanya 3,327.45 metrik tan pada 2015.

Kahar berkata, projek kebun kerang membuahkan hasil lumayan pada peringkat awal dengan nelayan sepertinya mampu meraih sekitar RM10,000 hingga RM15,000 bagi setiap musim kerang.

Keadaan bagaimanapun berubah apabila kawasan perairan sungai mula tercemar. Ketika itu, nelayan hanya mampu mengutip sekitar RM1,000 semusim, iaitu kira-kira lapan bulan selepas benih dimasukkan ke dalam lot masing-masing.

“Sekarang kita tak boleh nak simpan kerang (di kebun), mati… sumber makanan (untuk kerang) kurang disebabkan pencemaran ini, benih kerang tidak ada. Benihnya pula dikutip secara semula jadi, kita ambil dari laut.

“Alhamdulillah, kerang kita selamat di makan (buat masa ini), tapi hasil dah kurang.

“Dulu hasil kerang kita tak putus tetapi bila berlaku pencemaran ini, harga kerang jadi melambung tinggi (kerana hasil kurang),” kata Kahar.

Seorang lagi peserta kebun kerang, Azmi Hassan, 49, berkata dia terpaksa menghentikan usaha di lot miliknya kerana tidak lagi mampu menampung kerugian yang tinggi.

Azmi berkata dia rugi kira-kira RM600,000 antara 2010 dan 2012 kerana kerang yang diternaknya mati.

“Saya kalau boleh tak mahu ingat cerita hitam itu… banyak kerang yang mati. Kita tabur benih semua mati.

“Semuanya kerana pencemaran, jadi tak tahan lagi saya berhenti,” katanya, kepada The Malaysian Insight.

Azmi menambah hasil yang dikutip di kebun kerang miliknya juga tidak setimpal dengan kos yang dikeluarkan.

“Benih yang kita tabur di lot dahulu 5% pun tak dapat kutip hasil,” katanya.

Azmi Hassan terpaksa menghentikan usaha di lot miliknya kerana tidak lagi mampu menampung kerugian yang tinggi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 29 September, 2020.

Langgar peraturan demi sesuap nasi

Azmi juga mengakui dia terpaksa melanggar peraturan Jabatan Perikanan dengan mewujudkan kebun kerang haram kerana lot kerang miliknya sebelum ini berada di laluan air sungai yang tercemar.

“Sekarang saya buat kebun kerang berhampiran kawasan hutan bakau, sebab bila berlaku pencemaran kawasan itu tidak terjejas teruk berbanding lot saya di tengah-tengah sungai dahulu.

“Sekarang saya boleh kutip kira-kira 70% daripada benih kerang yang saya tabur dalam lot haram itu,” katanya.

Memburukkan keadaan, sejak lebih tiga tahun lalu, kerang yang berjaya didaratkan di jeti Sungai Buloh Sasaran, Jeram juga tidak mampu mencecah 100 kilogram sehari.

Sedangkan sewaktu hasil kerang melimpah-ruah, jeti pendaratan kerang di Sungai Buloh Sasaran itu mampu memproses kira-kira 500 kilogram sehari.

Peraih kerang Rohayu Abdul Aziz, 32, berkata kepada The Malaysian Insight, sepanjang tempoh itu, setiap hari hanya sekitar 20 hingga 30 kilogram kerang sahaja yang dapat dikutip nelayan.

“Itu pun nelayan kutip kerang di luar dari kawasan kebun kerang untuk mengelakkan kerang-kerang itu mati.

“Disebabkan kekurangan mendadak hasil harga kerang di pasaran melambung tinggi sekarang,” katanya.

Nelayan akan menjual kerang kepada peraih dengan harga RM5 sekilogram, sebelum dijual ke pasaran sekitar Kuala Lumpur hingga ke Negeri Sembilan pada harga antara RM8 hingga RM12 sekilogram.

Rohayu berkata disebabkan permintaan yang tinggi, pihaknya terpaksa melanggar peraturan Jabatan Perikanan yang menetapkan saiz kerang yang boleh dijual ke pasaran adalah sekitar 70 biji hingga 90 biji untuk sekilogram.

“Saiz kita jual sekarang lebih kecil, lebih kurang 200 biji untuk sekilogram… kita terpaksa kutip juga sebab kalau kita biarkan lebih lama, ia akan mati sebelum sempat dikutip,” katanya.

Kesan pencemaran pada masa hadapan

Kahar berkata, pencemaran sungai berterusan dikhuatiri menjejaskan kualiti kerang dari kawasan perairan tersebut.

“Pencemaran sungai akan beri kesan kepada kerang ini, bahan-bahan kimia (daripada sisa pencemaran) bila air pasang akan mendap di lumpur, jangan sampai kawasan ini jadi seperti Sungai Kim Kim.

“Kawasan kita di sini (hasilkan produk) pemakanan, esok lusa ada yang salahkan penternak kerang. Kita nelayan dituduh letak racun dan sebagainya, sedangkan kita tabur benih kerang dan kerang tidak diberi sebarang makanan,” katanya.

Peraih kerang, Rohayu Abdul Aziz akui terpaksa langgar peraturan Jabatan Perikanan yang menetapkan saiz kerang yang boleh dijual ke pasaran. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 29 September, 2020.

Habitat kerang adalah pesisir pantai di bawah tiga batu nautika di kawasan dataran berlumpur yang menjadi diet utamanya.

Pencemaran air berterusan menyebabkan sisa buangan akan mendap di dasar sungai sekaligus menjejaskan kehidupan kerang.

Disebabkan keadaan itu, Kahar berkata mereka yang terkesan dengan pencemaran sungai itu terpaksa mencari sumber pendapatan baharu sebagai mata pencarian mereka.

Segelintir mereka mula menceburkan diri sebagai pemandu pelancong memandangkan kawasan itu juga kaya dengan pelbagai biodiversiti lain seperti aktiviti memerhati burung.

Sungai Buloh Sasaran juga merupakan antara jeti yang digunakan untuk membawa pelancong ke lokasi “Sky Mirror” yang turut popular bagi pelancong luar negara.

“Kita kena buat banyak kerja sekarang, bawa orang nak ambil gambar burung, menjaring ikan dan sebagainya nak tambah pendapatan,” kata Kahar.

Rohayu juga terpaksa menjual kuih-muih sepanjang tempoh ketiadaan kerang, manakala Azmi pula mencari ikan belanak segar untuk dijual kepada kolam pancing ikan air masin di sekitar Klang.

Kerajaan negeri Selangor, minggu lalu dilaporkan akan membentangkan pindaan Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (Luas) 1999 dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Oktober.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dilapor berkata, pesalah yang mengakibatkan pencemaran sungai di Selangor boleh didenda hingga RM1 juta.

Cadangan pindaan itu turut memperuntukkan denda minimum RM200,000 dan hukuman penjara maksimum tiga tahun jika sabit kesalahan.

Seksyen 79 enakmen berkenaan sekarang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, serta denda selanjutnya sebanyak RM5,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan setelah pemberitahuan oleh Luas yang menghendaki pematuhan diserahkan.

Awal September lalu, 1,292 kawasan di tujuh wilayah di Selangor dan Kuala Lumpur mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan empat Loji Rawatan Air (LRA) terpaksa dihenti tugas.

Ia berikutan pencemaran dikesan pada sumber air mentah di Sungai Selangor.

Pada 15 September, empat lembaga pengarah dan seorang pengurus kilang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan melepas dan melupuskan bahan buangan mengandungi bahan berbahaya ke Sungai Gong, Rawang. – 29 September, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen