KKM kenal pasti kluster rumah penjagaan warga emas di Kuala Selangor


Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata seramai 12 kakitangan dan 26 penghuni di pusat penjagaan warga emas di Kuala Selangor disaring dan keputusan kakitangan dan 24 penghuni negatif. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Jun, 2020.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengesan satu kluster Covid-19 melibatkan penghuni sebuah pusat penjagaan warga emas di Kuala Selangor, Selangor, yang sehingga kini terdapat tiga kes positif. 

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata dua kes didapati positif melalui hasil saringan pusat penjagaan tersebut pada 17 Mei lepas manakala kes ketiga dikesan daripada saringan Severe Acute Respiratory IIlness (SARI) apabila pesakit  dimasukkan ke wad Hospital Tanjung Karang pada 13 Jun.

“Ini merupakan saringan kali kedua bagi beliau (kes ketiga) yang negatif pada saringan kali pertama semasa saringan pusat penjagaan warga emas,” katanya. 

Dr Noor Hisham berkata sehingga kini, seramai 12 kakitangan dan 26 penghuni disaring dan keputusan menunjukkan kesemua kakitangan dan 24 penghuni adalah negatif.

“Pengesanan kes secara aktif sedang dijalankan dan langkah-langkah pencegahan turut diambil termasuk nyah kuman dan nyah cemar,” tambahnya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham turut memaklumkan seramai 3,692,287 pengguna telah mendaftar  aplikasi MySejahtera sejak dilancarkan pada 20 April lepas.

Katanya aplikasi itu juga kini ditambah baik dengan fungsi ‘Check-in’ yang diperkenalkan secara rintis pada 1 Jun dan digunakan secara meluas mulai 6 Jun lepas. 

“Fungsi ini telah mendapat sambutan hangat, di mana dalam masa hanya 13 hari sebanyak 119,837 premis perniagaan telah mendaftar untuk QR code dan sebanyak 10,006,857 check-ins dicatat dari seluruh negara,” katanya. – Bernama, 15 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen