Sabah bukan ukuran Bersatu untuk PRU15, kata penganalisis


Zaim Ibrahim

Bersatu yang menerajui Perikatan Nasional walaupun menang di Sabah masih belum tandingan Umno. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 September, 2020.

MENANG banyak kerusi di Sabah bukan isyarat Bersatu akan lebih berjaya berbanding Umno dalam pilihan raya umum akan datang, kata penganalisis politik.

Dalam pilihan raya negeri hujung minggu lalu, Bersatu menang 11 daripada 19 kerusi yang ditandinginya atau 57.9% berbanding Umno yang menang 14 daripada 32 kerusi ditandinginya, atau 43.75%.

Penganalis politik memberitahu The Malaysian Insight, kemenangan itu bukan kayu ukur untuk Bersatu menuntut lebih banyak kerusi pada pilihan raya akan datang di Semenanjung.

Pensyarah politik Dr Azmil Tayeb percaya Bersatu boleh menggunakan keputusan pilihan raya Sabah dalam rundingan pengagihan kerusi dengan Umno dan PAS, tetapi dua parti utama Melayu itu tidak akan beralah.

“Muhyiddin Yassin dan Bersatu boleh menggunakan keputusan di Sabah sebagai validasi pencapaian kerajaan Perikatan Nasional, sekaligus satu aset perundingan pengagihan kerusi Umno dengan PAS.

“Tetapi dinamik politik berbeza antara Sabah dengan Semenanjung, di mana naratif politik Melayu-Islam lebih relevan berbanding di Sabah,” kata pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM) itu.

Jelas beliau, Umno dan PAS ada kekuatannya yang tersendiri, yang tentunya akan mereka manfaatkan sepenuhnya dalam pilihan raya umum akan datang.

“Saya yakin mereka tidak akan mengalah untuk memberi ruang lebih banyak kepada Bersatu.

“Mereka masih melihat Bersatu sebagai parti yang lemah di Semenanjung. Bersatu masih lemah daripada segi akar umbi, jentera dan pengalaman.

“Kebanyakan pengundi Bersatu waktu PRU14 adalah penyokong Umno dan mereka akan kembali menyokong Umno masa PRU15 nanti. Kekuatan Bersatu cuma mereka ada dalam kerajaan sekarang dan boleh menggunakan sumber kerajaan untuk meraih sokongan,” tambahnya.

Bersatu masih lemah dalam semua segi termasuklah jentera dan organisasi parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 September, 2020.

Sementara itu, pensyarah Akademi Pengajian Melayu dari Universiti Malaya, Dr Awang Azman Awang Pawi juga berpendapat, Bersatu masih sukar untuk mendapat kerusi yang banyak kerana perlu bersaing dengan Umno.

“Walaupun Bersatu banyak memenangi kerusi (di Sabah) dan beri impak kepada kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), kita kena ingat Semenanjung dan Sabah berbeza keadaan politiknya. Di Sabah, politik personaliti, faktor tempatan begitu kuat.

“Kemenangan Bersatu tidak boleh digunakan sangat untuk lonjak parti itu di Semenanjung,” katanya.

Awang Azman yakin Umno akan lebih menguasai kerusi-kerusi di Semenanjung dalam pilihan raya umum akan datang.

“Jika Bersatu menjadikan kemenangan di Sabah sebagai penunjuk utama PRU15, saya rasa itu satu kesilapan besar untuk pilihan raya di peringkat nasional.

“Saya lihat Umno akan lebih banyak menguasai kerusi-kerusi di Semenanjung kerana banyak kerusi tradisi Umno, wakil-wakil rakyat yang melompat ke Bersatu pun berasal dari Umno,” tambahnya.

Walaupun Muhyiddin Yassin disukai rakyat, partinya, Bersatu masih kerdil berbanding Umno dan PAS. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 September, 2020.

Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang bergabung sebagai GRS menang keseluruhan 38 kerusi, membolehkannya membentuk kerajaan negeri di Sabah dengan majoriti mudah.

Daripada jumlah itu, PN menang 17 kerusi sementara BN 14, semuanya melalui Umno, dan PBS 7 kerusi. GRS juga mendapat dukungan tiga calon bebas yang menang, menjadikan keseluruhan 41 kerusi di DUN Sabah.

Parti Warisan Sabah dan sekutunya yang bergabung atas nama Warisan Plus pula menang 32 kerusi, dengan Warisan menang 23 kerusi, DAP 6, PKR 2 dan Upko 1.

Dalam pada itu, pensyarah politik Dr Mazlan Ali dari Univerisit Teknologi Malaysia (UTM) yakin Bersatu mampu mempengaruhi rundingan kerusi membabitkan Umno dan PAS.

“Umno dan PAS perlu pertimbangkan kerusi untuk Bersatu kerana imej Muhyiddin begitu baik dan memberi sumbangan kepada gabungan Bersatu, Umno, dan PAS dalam PRU15.

“Saya fikir, berdasarkan kemenangan di Sabah, Muhyiddin mampu pengaruhi parti-parti komponen dalam gabungan untuk dapat lebih banyak kerusi dan memimpin dalam PRU15,” jelasnya.

Tambah Mazlan, populariti Muhyiddin kian meningkat selepas kemenangan itu.

“Imej beliau selama lebih kurang enam bulan menjadi perdana menteri, banyak polisi yang baik diperkenal untuk rakyat seperti beberapa insentif dan moratarium bayaran balik pinjaman.

“Menjelang PRU15, rekod itu mampu beri impak yang baik kepada gabungan PN,” katanya.

Walaupun Bersatu dan sekutu menang di Sabah, ia belum bererti mereka kebal. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 September, 2020.

Kajian Merdeka Centre antara Julai dan Ogos lalu menunjukkan tujuh daripada 10 pengundi Malaysia berpuas hati dengan prestasi Muhyiddin sebagai perdana menteri. Sembilan daripada 10 orang Melayu dan Bumiputera dari Sabah dan Sarawak juga memberikan perdana menteri pujian.

Sebelum ini beberapa pemimpin Umno menggesa parti itu tidak beralah untuk memberi kerusi kepada Bersatu.

Antaranya, Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah yang berkata, Umno perlu bertanding semula di semua kerusi yang asalnya dimenangi oleh parti itu termasuk di kerusi yang wakil rakyatnya menyeberang masuk Bersatu dalam PRU14.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Zahidi Zainul Abidin juga mendedahkan keputusan mesyuarat badan parti itu bahawa Umno dan BN akan bertanding di semua kerusi wakil rakyatnya yang lompat parti selepas PRU14.

“Mana-mana kerusi yang dimenangi BN, mereka lompat ke Bersatu, itu Majlis Tertinggi buat keputusan kita ambil balik.

“Maka kita tidak akan bagi satu kerusi pun kepada Bersatu, itu sudah pasti,” katanya dalam satu rakaman video yang tersebar pada hujung Ogos. – 28 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen