Jangan beralah serah kerusi kepada Bersatu, kata Ku Li kepada Umno


Diyana Ibrahim Zaim Ibrahim Alfian Z.M. Tahir

Orang itu dah lompat, dia dah bercerai dengan kita, kita tak mahu dia balik. Itu orang bawah (akar umbi Umno) yang kata, bukan saya, kata Tengku Razaleigh. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 20 September, 2020.

UMNO tidak wajar beralah kepada Bersatu dalam pengagihan kerusi untuk Pilihan Raya Umum ke-15, seperti yang berlaku dalam Pilihan Raya Negeri Sabah, kata Tengku Razaleigh Hamzah.

Katanya, Umno perlu bertanding semula di semua kerusi yang asalnya dimenangi oleh parti itu tetapi wakil rakyatnya kini menyeberang masuk Bersatu.

Malah kata Tengku Razaleigh, Umno perlu juga mengambil semula semua kerusi asalnya yang dimenangi oleh Bersatu dalam PRU14.

Beliau memberikan contoh Langkawi dan Pagoh yang dimenangi oleh bekas pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad dan presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang juga sekarang perdana menteri.

“Kerusi yang dulu kita menang orang itu masuk parti lain itu kekal kita punya. Kita tak bertolak ansur.

“Kerusi itu kita kena kekalkan bahkan kerusi macam Langkawi… Dr Mahathir dan Pagoh, Muhyiddin, itu pun kerusi Umno. Kita nak kerusi itu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Umno perlu melawan balik jika Bersatu enggan memberikan semua kerusi tersebut, tambahnya.

Pengerusi Jemaah Penasihat Umno itu diminta mengulas kedudukan Umno yang hanya bertanding dua daripada lapan kerusi asal yang dimenanginya semasa PRU14 dalam pilihan raya negeri Sabah yang sedang berjalan sekarang.

Menurut Tengku Razaleigh, wakil rakyat yang lompat parti telah terjejas reputasi mereka dan akan ditolak oleh rakyat.

“Orang itu dah lompat, dia dah bercerai dengan kita, kita tak mahu dia balik. Itu orang bawah (akar umbi Umno) yang kata, bukan saya. 

“Orang bawah tak terima bahkan tengok muka pun tak boleh.

“Di kawasan, ada seorang wakil rakyat lompat (parti) pergi sembahyang Jumaat, dia nak salam orang tak nak salam. Dia diejek di kampung itu. Wakil rakyat lompat ini tak sedar dimalukan,” katanya.

Ditanya adakah Umno akan beralah jika Muhyiddin dan ahli Bersatu yang lain menyertai semua parti itu, Tengku Razaleigh menjawab: “Siapa kata Umno mahu terima beliau?”

“Ini politik kita tak boleh kata macam main sepak takraw… hari ini sakit kaki tak boleh main kena cari ganti.

“Ini soal rakyat kena serius. Kehidupan rakyat bergantung kepada kita,” katanya.

Pemimpin Umno Sabah sebelum ini lantang mahu bertanding di semua kerusi asalnya termasuk yang diwakili oleh bekas wakil rakyatnya yang sudah lompat parti menyertai Bersatu.

Nada sama juga disuarakan oleh pemimpin Umno lain dalam konteks pengagihan kerusi untuk PRU15.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Zahidi Zainul Abidin sebelum ini mendedahkan keputusan mesyuarat badan parti itu bahawa Umno dan Barisan Nasional (BN) akan bertanding di semua kerusi wakil rakyatnya yang lompat parti selepas PRU14.

“Mana-mana kerusi yang dimenangi BN, mereka lompat ke Bersatu, itu Majlis Tertinggi buat keputusan kita ambil balik.

“Maka kita tidak akan bagi satu kerusi pun kepada Bersatu, itu sudah pasti,” katanya dalam satu rakaman video yang tersebar pada hujung Ogos.

Beberapa pemimpin Umno sebelum itu juga menegaskan hal sama ketika mengulas kenyataan kontroversi kenyataan Ahli Parlimen Mersing Dr Abdul Latiff Ahmad.

Bagaimanapun dalam pilihan raya negeri Sabah yang sedang berjalan, hanya dua daripada lapan kerusi bekas Umno yang kekal ditanding calon Umno iaitu Usukan dan Lumadan.

Enam kerusi lain diserahkan kepada Bersatu untuk meletakkan calon atas tiket Perikatan Nasional iaitu Sulaman, Kawang, Membakut, Klias, Karanaan, dan Apas.

Selepas PRU14, 13 ahli Parlimen Umno keluar parti untuk masuk Bersatu. Mereka sekarang memegang jawatan menteri dan timbalan menteri dalam kabinet Muhyiddin.

Tolak ansur PRU15

Penganalisis politik bagaimanapun yakin Umno akan bertolak ansur dalam pengagihan kerusi PRU15 dengan melepaskan banyak kerusi kepada Bersatu. 

Ketua Penyelidik Ilham Centre Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata sebagai parti yang sedang menerajui kerajaan pusat amat mustahil Bersatu hanya akan bertanding 13 kerusi yang mereka menang dalam PRU lepas.

“Dengan kuasa rundingan yang mereka miliki sudah tentu Bersatu akan bertanding lebih banyak kerusi, sebahagian besarnya kerusi yang mereka sedang sandang sekarang yang dimenangi oleh Umno.

“Apatah lagi sebahagian ahli Parlimen Bersatu yang asalnya dari Umno sekarang berjawatan menteri atau timbalan menteri… mustahil mereka tidak akan bertanding PRU15,” katanya.

Selagi Umno berada dalam pakatan politik bersama Bersatu agak sukar parti itu bertanding semua kerusi yang dimenanginya dalam PRU15, tambahnya.

Namun, pensyarah politik Dr Awang Azman Awang Pawi berkata dalam konteks PRN Sabah, Umno tiada pilihan dan terpaksa beralah kepada Bersatu.

Beliau tidak menolak kemungkinan faktor Muhyiddin sebagai perdana menteri antara tekanan Umno beralah.

Namun keadaan tidak sama apabila Parlimen dibubarkan untuk PRU15 nanti, tambahnya.

“Bila Parlimen bubar itu cerita lain. Masa itu Muhyiddin tak jadi perdana menteri, paling kurang beliau adalah interim.

“Ketika itu Umno akan lebih agresif dan akan menjadikan apa yang berlaku di Sabah sebagai satu sebab utama menuntut kerusi,” katanya. – 20 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen