Logo bukan penentu keputusan PRN Sabah, kata penganalisis


Mohd Farhan Darwis

Pengundi Sabah tidak membuat pilihan dalam pilihan raya negeri kelmarin atas lambang parti, menurut penganalisis politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 September, 2020.

PENGUNDI Sabah memilih berdasarkan prestasi dan populariti calon, serta janji parti yang bertanding untuk pembangunan, kata penganalisis politik.

Pengundi tidak membuat pilihan dalam pilihan raya negeri kelmarin atas lambang parti, kata mereka, selepas Perikatan Nasional yang memperkenalkan lambang partinya hanya tiga hari sebelum penamaan calon menang banyak kerusi.

Mereka memberikan juga contoh tiga calon bebas yang mengalahkan calon parti-parti lain yang lebih lama dikenali seperti Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Barisan Nasional (BN), termasuk Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) yang pernah ada sejak 1960-an.

Penganalisis politik memberitahu The Malaysian Insight, keputusan pilihan raya negeri pada Sabtu menunjukkan beberapa faktor utama yang jadi penentu, antaranya populariti calon secara peribadi, garis etnik, dan tawaran politik pembangunan yang masih begitu relevan di Sabah.

Pensyarah politik di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mazlan Ali berkata Perikatan menang 17 daripada 29 kerusi yang ditandinginya bukan kerana parti baharu itu menggunakan lambang partinya sendiri.

“Perikatan parti baharu tetapi menang agak banyak kerusi berbanding Usno yang sudah wujud lebih lama tapi kalah juga,” katanya, kepada The Malaysian Insight.

Usno diasaskan pada 1961 oleh Mustapa Harun dan dibubarkan pada 1996 selepas pemimpinnya menyertai Umno yang ketika itu mula bertapak di Sabah. Parti itu kemudian didaftarkan semula pada 2013 dan kini dipimpin oleh bekas Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia.

“Puluhan tahun logo Usno (ada di Sabah) tapi Perikatan dapat lagi banyak kerusi daripada mereka.

“Ini menunjukkan logo bukan faktor segala-galanya. Ada banyak faktor lain yang menjadi penentu kepada pengundi,” tambah Mazlan.

Ada banyak faktor lain yang menjadi penentu kepada pengundi, kata penganalisis politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 September, 2020.

BN yang bekerjasama dengan Perikatan atas nama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menang 14 kerusi daripada 41yang ditandinginya. Semua 14 kerusi itu diwakili oleh Umno. 

Parti Bersatu Sabah (PBS) yang juga sekutu Perikatan dan BN, sebuah parti yang cemerlang dalam empat pilihan raya negeri antara 1985 dan 1994, menang tujuh daripada 22 yang ditandinginya.

Parti Warisan Sabah (Warisan) muncul parti tunggal yang menang kerusi terbanyak iaitu sebanyak 23 daripada 46 kerusi yang ditandingi. Bersama sekutunya DAP yang menang 6 kerusi, serta PKR 2 dan UPKO 1, gabungan atas nama Warisan Plus itu menang keseluruhan 32 kerusi.

Keputusan pilihan raya negeri Sabah ini jelas menunjukkan pengundi memilih parti yang mampu mengangkat agenda perjuangan untuk rakyat, kata Mazlan.

Daripada pengalamannya bertemu pengundi sepanjang tempoh kempen bermula 12 September lalu, Mazlan berkata pengundi mengaku mereka akan mengundi BN dan Perikatan kerana “boleh beri duit” kepada mereka.

“Rakyat di kawasan pedalaman memang mengharapkan bantuan daripada kerajaan. Mereka memangkan perlukan wang daripada kerajaan.

“Siapa yang boleh bawa perjuangan rakyat dan agenda pembangunan kepada mereka itu yang mereka akan sokong,” katanya.

Warisan muncul parti tunggal yang menang kerusi terbanyak iaitu sebanyak 23 daripada 46 kerusi yang ditandingi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 September, 2020.

Logo hanya pelengkap

Sementara itu, Ketua Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar menyifatkan kemenangan tiga calon bebas dalam pilihan raya negeri Sabah bukti bahawa kekuatan calon menjadi antara asas penilaian pengundi.

Tiga kerusi itu ialah Kuamut, Pitas, dan Kemabong, yang turut ditandingi oleh calon Warisan, BN dan Star, yang juga sebuah parti dalam Perikatan.

“Pola pengundian di Sabah betul-betul menilai kekuatan calon. Ini dapat dilihat daripada kekuatan yang dimiliki oleh calon bebas.

“Ada antara mereka yang memang kuat dan berpengaruh,” katanya.

Hisomuddin memberikan kerusi Pitas sebagai contoh, yang dimenangi calon bebas Ruddy Awah. 

Ruddy bekas timbalan ketua cabang PKR yang keluar parti ketika PKR mengambil tindakan terhadap ahli parti yang setia kepada bekas timbalan presiden yang dipecat Mohamed Azmin Ali pada Julai lalu.

“Sejak awal kami turun sebelum dan semasa pengundian, pengundi jangka Ruddy akan beri cabaran hebat kepada parti besar seperti Warisan dan Perikatan,” katanya.

Ruddy menang dengan majoriti 559 undi mengalahkan empat calon yang mewakili BN, Warisan, Parti Cinta Sabah, dan Usno.

Calon bebas Masiung Banah yang menang di Kuamut pula adalah bekas wakil rakyat yang menang kerusi tersebut dalam pilihan raya umum yang lalu (PRU14) atas tiket BN. Beliau yang ketika itu anggota UPKO keluar parti untuk menyertai Warisan selepas PRU14.

Sementara Rubin Balang yang menang di Kemabong juga bukan nama asing. Beliau wakil rakyat Kemabong selama tiga penggal (2004, 2008, 2013) sebelum pindah bertanding kerusi Parlimen Tenom pada PRU14, dan kalah.

Beliau juga adalah ketua bahagian Bersatu Tenom yang melanggar parti untuk bertanding sebagai calon bebas. 

Semalam, Rubin hadir di sidang media pengerusi Bersatu Sabah Hajiji Noor dan memberitahu wartawan beliau menyokong Perikatan dan kepimpinan Muhyiddin Yassin.

Dalam pada itu, Hisomuddin berkata faktor etnik dan kekeluargaan turut mencorak pola pengundian di Sabah, bagi sesetengah calon.

“Pengundi juga menilai aspek personaliti calon yang mudah didekati semasa jadi wakil rakyat dan sumbangan sebelum jadi wakil rakyat.

“Logo ini penting kepada pengundi yang setia kepada parti. Ia menjadi faktor pelengkap kepada personaliti calon yang besar,” kata Hisomuddin lagi.

Penganalisis berkata faktor etnik dan kekeluargaan turut mencorak pola pengundian di Sabah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 September, 2020.

Kesan PRU15

Dalam pada itu, Mazlan bagaimanapun berkata, corak pengundian di Sabah tidak terpakai untuk pilihan raya umum di Semenanjung.

Pengundi di Semenanjung menuntut isu yang lebih kompleks seperti integriti dan tatakelola kerajaan yang baik, berbanding kepentingan infrastruktur dan pembangunan.

“Politik pembangunan hanya terpakai di kawasan kecil pedalaman di Semenanjung.

“Pengundi bandar pula pentingkan parti dan calon berintegriti, yang boleh bawa tatakelola kerajaan dengan baik,” katanya.

Seorang sumber dalaman Perikatan memberitahu The Malaysian Insight, Muhyiddin  sebenarnya yang bertegas mahu lambang parti yang baharu itu dipakai dalam pilihan raya negeri Sabah.

“Pilihan raya Sabah ini hendak dijadikan medan ujian sebelum pilihan raya umum. Itu sebabnya Muhyiddin bersungguh-sungguh mahu logo PN dipakai walaupun dalam kalangan pemimpin parti banyak juga yang ragu.

“Percaturan ini nampaknya berjaya walaupun logo baharu ini kita perkenalkan tidak sampai seminggu sebelum pilihan raya Sabah,” katanya, dengan syarat tidak dinamakan.

Logo PN diperkenalkan secara rasmi dalam satu majlis di Kota Kinabalu pada 9 September, dua hari sebelum penamaan calon pilihan raya negeri Sabah. – 28 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen