Bebas Covid-19, Annuar dilihat berada di pejabat Umno Sabah


Chan Kok Leong

Sebelum itu, Annuar yang juga menteri Wilayah Persekutuan melalui Twitter-nya berkata, beliau telah membuat ujian saringan Covid-19 sebanyak tiga kali dalam sebulan. – Gambar The Malaysian Insight oleh KL Chan, 26 September, 2020.

SETIAUSAHA agung Barisan Nasional Annuar Musa kembali bertugas selepas mengumumkan keputusan negatif Covid-19 melalui Twitter.

Beliau dilihat duduk bersebelahan bekas presiden Umno Najib Razak dan setiausaha agung Umno Ahmad Maslan di ibu pejabat Umno di Kota Kinabalu sekitar jam 6.30 petang tadi.

Para pemimpin Umno berkumpul di situ menunggu keputusan pilihan raya negeri Sabah.

Sebelum itu, Annuar yang juga menteri Wilayah Persekutuan melalui Twitter-nya berkata, beliau telah membuat ujian saringan Covid-19 sebanyak tiga kali dalam sebulan.

“Lebih baik sakit hidung (kena korek oleh doktor), dari bahaya jangkitan Covid-19 yang ganas ini,” katanya yang juga ahli parlimen Ketereh.

Dalam cicipan twitter yang lain, Annuar berkata ujian saringan kedua beliau juga didapati negatif dan sedang menunggu surat pelepasan rasmi daripada Kementerian Kesihatan.

“Dengan ujian PCR kedua terbukti negatif dan juga sudah melepasi tempoh serta lain-lain prosedur yang telah di jalankan oleh doktor, KKM, saya menunggu surat pelepasan resmi insyaallah,” katanya.

Annuar diarahkan membuat kuarantin sendiri selepas didapati menjadi kontak rapat Anggota Majlis Tertinggi Umno, Mohd Razlan Rafii ketika berkempen di Sabah.

Berita Harian melaporkan bahawa Zahid Hamidi juga menjadi kontak rapat Razlan ketika berkempen di Sabah.

Juga timbalan ketua pemuda Umno Shahril Hamdan didapati positif Covid-19.

Hari ini, ketua pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata beliau juga telah disahkan positif selepas menjadi kontak rapat Razlan dalam kempen PRN Sabah. – 26 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen