Dua lagi pemimpin tertinggi Umno dikuarantin 


Terpaksa jalani kuarantin rumah, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memantau perjalanan PRN Sabah dari rumah sahaja. – Gambar ihsan Facebook Zahid Hamidi, 25 September, 2020.

AHMAD Zahid Hamidi dan Annuar Musa hari ini mengumumkan sedang menjalani kuarantin rumah selepas menjadi kontak rapat kes positif Covid-19 ketika berkempen untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Zahid yang merupakan presiden Umno, berkata dalam sebuah status di Facebook bahawa beliau memantau perkembangan PRN Sabah dari rumah ekoran dikuarantin.

“Oleh kerana kuarantin, saya memantau dari rumah segala perkembangan terbaharu mengenai hari mengundi PRN Sabah,” katanya.

Ujian RT-PCR Covid-19 yang diambil beliau pada Isnin lalu menunjukkan keputusan negatif dan menyebabkan perbicaraan rasuahnya ditangguhkan.

Berita Harian melaporkan bahawa Zahid menjadi kontak rapat Anggota Majlis Tertinggi Umno, Mohd Razlan Rafii ketika berkempen di Sabah.

Razlan awal minggu ini menjadi ahli politik pertama yang mengumumkan bahawa beliau telah diuji positif Covid-19.

Seperti Zahid, Setiausaha Agung Barisan Nasional dan Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa juga kini menjalani kuarantin rumah setelah berhubung dengan Razlan di Sabah.

“Sedih..Dalam semua PRK sebelum ini, saya berada di medan juang dan paling selamat digunakan tetapi kali ini terkurung di bilik semasa di kenakan perintah kurentin / HSO oleh KKM angkara COVID19,”

Beliau juga merupakan penyelaras BN bagi PRN Sabah kali ini.

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki hari ini turut mengumumkan dirinya sedang menjalani kuarantin rumah. – 26 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen