Pakar undang-undang gesa tolak rundingan pintu belakang


Kamles Kumar

Undi percaya cara terbaik untuk memecahkan kebuntuan selepas Anwar Ibrahim mendakwa kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpin Muhyiddin Yassin sudah jatuh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 September, 2020.

UNDI percaya perlu dibuat di Parlimen bagi menentukan apakah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mendapat sokongan majoriti untuk terus menerajui kerajaan, kata para pakar perlembagaan.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight ini adalah cara terbaik untuk memecahkan kebuntuan selepas cabaran Anwar Ibrahim pada Rabu, yang mendakwa Perikatan Nasional (PN) dipimpin Muhyiddin sudah jatuh.

Sementara itu, Muhyiddin menegaskan beliau masih menjadi perdana menteri, sambil menambah pihak Istana belum memanggilnya susulan dakwaan Anwar.

Peguam Lee Wei Jiet berkata cara ideal untuk melakukannya adalah undi percaya dibuat di Dewan Rakyat untuk melihat apakah Muhyiddin mempunyai majoriti.

“Dan jika undian berjaya, maka Agong boleh terus membubarkan Parlimen jika dinasihatkan oleh Muhyiddin atau melantik seorang ahli Parlimenyang mempunyai keyakinan Dewan Rakyat untuk menjadi PM.

“Ini adalah cara yang lebih telus dan bukannya rundingan pintu belakang yang sudah menjadi kebiasaan di Malaysia,” kata Lee kepada The Malaysian Insight.

Presiden PKR Anwar mengumumkan dua hari lalu beliau memiliki majoriti meyakinkan untuk mengambil alih Putrajaya, dan sudah bercakap dengan Agong melalui panggilan telefon selepas baginda dimasukkan ke Institut Jantung Negara.

Bagaimanapun, ahli Parlimen Port Dickson tidak memaklumkan jumlah anggota Parlimen yang menyokongnya, berkata beliau akan melakukannya selepas menghadap Agong.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin, bagaimanapun, berkata kepada Reuters, Agong dinasihatkan oleh doktornya untuk tinggal berada di hospital selama tujuh hari untuk pemerhatian. Sehingga itu, beliau tidak akan mengadakan sebarang perjumpaan.

Peguam Gurdial Singh Nijar berkata Agong boleh memilih untuk menemuduga ahli Parlimen seperti yang dilakukan sebelum ini.

“Agong perlu memastikan siapa yang mempunyai sokongan majoriti,” katanya.

Pada Februari, selepas pengunduran bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad secara tiba-tiba, Agong menemui semua anggota Parlimen untuk melihat siapa yang mereka mahukan sebagai perdana menteri.

Beliau kemudian mengajak Muhyiddin untuk membentuk kerajaan selepas presiden Bersatu memperoleh sokongan parti Umno, PAS dan Sarawak.

Gurdial berkata Muhyiddin juga boleh mencontohi Mohd Shafee Apdal untuk membubarkan kerajaan sebelum Anwar bertindak.

“PM yang ada (yang kehilangan kepercayaan majoriti) juga boleh meminta Agong membubarkan Parlimen.

“Terserah kepada Agong untuk memutuskan jalan mana yang harus diambil. Keputusannya tidak boleh dicabar. Inilah yang berlaku di Sabah,” katanya.

Di Sabah, Ketua Menteri Shafie menasihati Yang Di-Pertua Negeri membubarkan DUN selepas lawannya Musa Aman mengaku mendapat sokongan majoriti. Sabah akan mengundi hari ini.

Peguam perlembagaan Malik Imtiaz Sarwar berkata Agong boleh menemui Anwar untuk menilai situasi.

Beliau berkata, jika dakwaan Anwar benar, maka wajarlah Agong membincangkan apa yang akan berlaku selanjutnya dengan Muhyiddin.

“Jika Muhyiddin menerima kedudukan Anwar, beliau harus mengundur diri. Jika beliau mempertikaikannya, beliau boleh meminta Agong membubarkan Parlimen.

“Agong memiliki hak istimewa untuk mengatakan tidak, dalam hal ini Muhyiddin perlu mengundurkan diri dan Anwar kemudiannya boleh untuk membentuk pemerintah,” kata Malik.

Bagaimanapun, Malik menambah semua ini bergantung pada sama ada Anwar mempunyai majoriti kuat seperti didakwa.

Sejurus selepas pengumuman Anwar pada Rabu, DAP dan Amanah mengeluarkan kenyataan yang mengatakan mereka bersamanya.

Rakan sekutu PN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS), bagaimanapun, berjanji akan menyokong Muhyiddin.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata, ahli partinya bebas untuk memberikan sokongan kepada Anwar, jika mereka mahu. – 26 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen