Istana Negara sahkan Anwar dijadual menghadap Agong semalam


Istana Negara hari ini sahkan Anwar Ibrahim dijadualkan menghadap  Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 September, 2020.

ISTANA Negara hari ini mengesahkan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dijadualkan menghadap  Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata majlis tersebut bagaimanapun terpaksa ditangguhkan susulan Seri Paduka menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

“Ketika ini, Al-Sultan Abdullah akan terus menjalani rawatan di bawah pengawasan para pakar perubatan di Institut Jantung Negara,” katanya.

“Al-Sultan Abdullah menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat, YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, YABhg. Tun Daim Zainuddin, para Jemaah Menteri Kabinet dan individu-individu termasuk YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang telah mendoakan kesejahteraan Seri Paduka Baginda.”

Yang di-Pertuan Agong juga katanya menasihati rakyat bertenang dan menjaga kesihatan diri masinng-masing serta mematuhi  prosedur operasi standard (SOP) kerana negara masih menghadapi ancaman penularan wabak Covid-19.

Menurut kenyataan itu lagi, Seri Paduka turut bertitah kepada semua pihak supaya mengutamakan kesejahteraan rakyat, susulan perkembangan terbaharu politik negara, hari ini.

Anwar pada sidang media hari ini mendakwa beliau mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu menggantikan Perikatan Nasional (PN).

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah sokongan apabila diasak oleh pemberita pada sidang media di Le Meridien Hotel in Kuala Lumpur hari ini.

Anwar berkata beliau telah mendapat perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Selasa, tetapi ditangguhkan berikutan Seri Paduka mendapat rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Katanya, butiran lanjut mengenai jumlah sokongan akan didedahkan selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Sejurus pengumuman tersebut, Amanah dan DAP mengeluarkan kenyataan menyokong presiden PKR itu.

Parti komponen PN menolak dakwaan Anwar, mengulangi kenyataan menyokong kepimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. – 23 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen