Kawasan rumah pangsa di Kota Setar dikenakan PKPD bersasar


Aminah Farid

Rumah Pangsa Tongkang Yard (Seberang Perak) akan berada di bawah PKPD secara bersasar sehingga 7 Oktober. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 September, 2020.

MASIH terdapat kebimbangan kemungkinan jangkitan Covid-19 di satu kawasan di Kota Setar walaupun perintah kawalan pergerakan dipertingkatkan secara pentadbiran (PKPDP) dilaksanakan di zon berakhir hari ini.

Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata satu kawasan - Rumah Pangsa Tongkang Yard (Seberang Perak) - akan berada di bawah PKPD secara bersasar sehingga 7 Oktober.

Sebanyak 94 penduduk di daerah ini menjalani pemeriksaan Covid-19 dan sembilan daripadanya didapati positif.

Sembilan kes itu melibatkan lima isi rumah.

“Kementerian Kesihatan melakukan penilaian dan menyimpulkan kawasan itu masih merupakan lokasi berisiko tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sekolah Kebangsaan Sungai Korok Lama juga akan ditutup mulai esok hingga 9 Oktober berikutan perintah itu.

Ismail Sabri berkata lanjutan ini diperlukan untuk tujuan saringan kedua oleh pihak kesihatan.

Penguatkuasaan juga akan terus memantau pergerakan penduduk di sana, katanya.

PKPDP Kota Setar melibatkan lebih 28 kawasan di Kedah dengan jumlah penduduk 366,787.

Sehingga semalam, negara mencatatkan 71 kes Covid-19 baharu dalam tempoh 24 jam, dengan Sabah mencatatkan jumlah jangkitan baharu tertinggi dengan 63 kes.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan negara setakat ini menjadi 10,576 kes.

Angka kematian ialah 133 orang. – 25 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen