Agong belum panggil menghadap, saya masih PM, kata Muhyiddin


Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata peguam negara turut meyakinkannya yang beliau masih PM sementara menunggu sebarang notis daripada istana. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 September, 2020.

MUHYIDDIN Yassin hari ini menegaskan beliau masih perdana menteri yang sah kerana belum dipanggil menghadap oleh Yang di-Pertuan Agong, yang mempunyai kuasa untuk melantik perdana menteri.

Berkempen di kawasan pedalaman Sabah, Muhyiddin berkata pihak istana belum memanggilnya walaupun ada dakwaan baru-baru ini yang beliau sudah hilang sokongan majoriti ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Malaysiakini melaporkan Muhyiddin meragui dakwaan dibuat oleh pemimpin pembangkang, Anwar Ibrahim.

“Setakat hari ini, saya tidak tahu kenyataan (Anwar) itu betul atau tidak…Saya ragu lagi, betul ka atau ini pernyataan politik?” kata Muhyiddin.

Muhyiddin menambah peguam negara meyakinkannya bahawa beliau masih perdana menteri sementara menunggu sebarang notis dari istana.

Dua hari lalu di Kota Kinabalu, Muhyiddin berkata pelantikan perdana menteri mesti dilakukan mengikut Perlembagaan dan kuasa untuk melakukannya terletak pada Agong.

Anwar mendakwa memperoleh sokongan majoriti di Parlimen dan menunggu untuk menghadap Agong bagi mengemukakan jumlah sokongan milikinya.

Presiden PKR itu enggan mendedahkan berapa banyak ahli Parlimen yang menyokongnya walaupun dakwaan diperkukuhkan oleh Umno yang berkata banyak ahli mereka tidak senang dengan Muhyiddin dan Perikatan Nasional (PN).

Seorang ahli Parlimen Umno Nazri Aziz, membuat spekulasi semalam yang Anwar mungkin akan mendapat sokongan daripada sekurang-kurangnya 10 anggota Parlimen parti itu yang tidak senang dengan Muhyiddin.

Umno juga kini disoal oleh sekutunya PAS, yang menuntut agar parti itu menjelaskan pendiriannya mengenai Anwar.

Kerajaan PN dipimpin Muhyiddin dipegang oleh Umno, yang memiliki 39 kerusi di Parlimen, blok sokongan terbesar bagi gabungan pemerintah.

PN dibentuk pada Mac tahun ini selepas Muhyiddin menarik partinya, Bersatu, keluar daripada gabungan Pakatan Harapan, yang mana Anwar adalah antara pemimpin tertingginya. – 25 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen