Lebih 10 ahli Parlimen Umno tak senang dengan Muhyiddin, kata Nazri


Kamles Kumar

Ahli Parlimen Padang Rengas Mohamed Nazri Aziz tidak mustahil wakil rakyat Umno yang tidak senang dengan kepimpinan Muhyiddin Yassin akan menyokong Anwar Ibrahim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 September, 2020.

SEKURANG-kurangnya 10 ahli Parlimen Umno tidak senang dengan kepimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Perikatan Nasional (PN), kata Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Menurut bekas menteri Umno itu, wakil rakyat yang kecewa dengan kepimpinan Muhyiddin boleh jadi akan beralih sokongan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan baharu.

“Ada ahli-ahli Parlimen dan Umno yang tidak senang dengan cara Muhyiddin melayan parti. Kita tak perlu sokong orang yang tak hormat parti kita.

“Ada ahli Parlimen yang tidak berpuas hati dan mereka ini tak setia kepada PM. Lebih daripada 10 orang,” Nazri memberitahu The Malaysian Insight.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu bagaimanapun enggan mendedahkan sama mereka akan menyokong Anwar atau mengambil langkah lain.

“Kita mungkin tak sertai Anwar, ada banyak cara lain.”

Anwar semalam mendakwa kerajaan PN pimpinan Muhyiddin tumbang kerana beliau mempunyai sokongan majoriti kukuh dan meyakinkan untuk bentuk kerajaan baharu.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata beliau telah mendapat perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Selasa, tetapi ditangguhkan berikutan Seri Paduka menerima rawatan di Institut Jantung Negara.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu tidak menghalang ahlinya untuk menyokong Anwar.

Kenyataan Zahid itu dipersetujui Nazri, dan sebahagian besar ahli Umno tidak senang dengan Muhyiddin dan Bersatu, katanya.

“Saya sokong kenyataan beliau. Kerajaan ini tidak mendapat mandat rakyat. Ada ahli Parlimen yang sokong PN, ada yang sokong presiden.”

Tambah beliau, beliau selepas ini akan mengikut apa sahaja keputusan Zahid.

“Saya akan ikut Zahid. Beliau masih presiden saya. Saya setia kepada presiden, tak seperti sesetengah orang sokong PM. Kita akan tunggu isyarat beliau,” katanya.

Nazri juga dilaporkan media berkata akan menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin jika pilihan raya mengejut diadakan.

“Jika menarik balik sokongan saya terhadap kerajaan Muhyiddin bermakna pilihan raya akan diadakan, maka saya lakukannya,” beliau dipetik berkata.

Tambahnya, sebarang perubahan kerajaan perlu melalui proses yang sewajarnya di Dewan Rakyat, dan bukan dengan menghadap Yang di-Pertuan Agong. – 24 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen