Wakil rakyat Umno boleh jatuhkan Anwar, kata Dr Mahathir


Dr Mahathir Mohamad memberi amaran ahli Parlimen yang menyokong Anwar Ibrahim boleh tarik kembali sokongan jika kehendak ketua mereka tidak dipenuhi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 September, 2020.

DR Mahathir Mohamad memberi amaran, ahli Parlimen Umno yang mengalih sokongan kepada Anwar Ibrahim boleh mengubah sokongan sekali lagi.

Bekas perdana menteri itu berkata, individu berkenaan mampu berbuat demikian kerana sokongan ke atas Anwar tentunya bersyarat dan mengikut kehendak pemimpin mereka.

Jelasnya, sekalipun ahli Parlimen itu menyokong Anwar, tentunya mereka lebih setia kepada presiden parti Ahmad Zahid Hamidi ataupun bekas perdana menteri Najib Razak.

“Jika kemahuan dua pemimpin mereka ini tidak dipenuhi, maka mereka akan bertindak sama seperti mereka lakukan kepada Muhyiddin dan menarik balik sokongan dan jatuhkan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dengan mengaitkan jaminan Anwar untuk tidak menerima sokongan daripada Najib, Zahid dan empat lagi ahli Parlimen Umno yang menghadapi perbicaraan di mahkamah.

Namun pada masa sama Muhyiddin Yassin tidak boleh kekal sebagai perdana menteri kerana sudahpun hilang sokongan ahli majoriti ahli Dewan Rakyat, katanya.

Dr Mahathir menyimpulkan demikian berdasarkan kenyataan Zahid semalam yang mengakui ramai ahli Parlimen kini menyokong Anwar untuk membentuk kerajaan baharu.

“Jika kita menerima kenyataan Zahid (itu) benar di atas kedudukannya sebagai presiden Umno dan pengerusi Barisan Nasional (BN), maka Muhyiddin tidak boleh lagi tegas di masih mempunyai majoriti untuk kekal sebagai perdana menteri,” katanya.

Jelasnya, Muhyiddin tentunya tidak lagi mendapat majoriti kerana selama ini ia hanya melibatkan kelebihan satu atau dua kerusi. 

 

Dalam pengumumannya semalam, Anwar tidak menyatakan dengan jelas jumlah ahli Parlimen yang kini menyokongnya.

Hanya satu parti sekutu PKR dalam Pakatan Harapan (PH), Amanah, menyatakan sokongan penuh dari 11 ahli Parlimen parti itu selepas pengumuman Anwar.

DAP yang mempunyai 42 kerusi pula mula-mula mengumumkan rasa terkejut dan kemudian menyatakan syarat untuk menyokong sekiranya Anwar memperolehi majoriti.

Sekiranya semua ahli Parlimen sekutu PH menyokong Anwar, beliau akan mendapat sokongan sekurang-kurangnya 91 wakil rakyat dan memerlukan sekurang-kurangnya 20 lagi.

Umno kini menguasai 39 kerusi di Dewan Rakyat selepas beberapa orang keluar parti dan menyertai Bersatu.

Presidennya Zahid semalam mengumumkan ahli Parlimen parti itu bebas menyokong Anwar.– 24 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen