Zahid lebih pentingkan akar umbi berbanding Muhyiddin, kata pemimpin Umno


Kamles Kumar

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dikatakan cenderung menyokong Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri.– Gambar fail The Malaysian Insight, 24 September, 2020.

AHMAD Zahid Hamidi sudah mencapai tahap yang mana beliau lebih memili akar umbi Umno berbanding Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, kata pemimpin parti kepada The Malaysian Insight.

Timbalan Pengerusi Umno Johor Nur Jazlan Mohamed menjelaskan kenyataan presiden parti semalam bahawa beliau tidak boleh halang ahli Parlimen Umno dan Barisan Nasional daripada menyokong Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri seterusnya.

Zahid membuat kenyataan itu agar mereka yang tidak setia kepada parti boleh keluar dan menyokong Anwar kerana ia bukan kali pertama melakukannya, kata Nur Jazlan.

“Apa yang Zahid lakukan adalah perkara yang betul untuk Umno. Kita akan hadapi pilihan raya dan akar umbi sangat marah untuk Umno bekerjasama dengan Bersatu.

“Apa yang Zahid lakukan adalah yang terbaik untuk Umno kerana PM ini (Perdana Menteri Muhyiddin Yassin) bukan dari kalangan kita,” kata Nur Jazlan kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata terdapat contoh beberapa ahli Parlimen Umno yang membuat perjanjian dengan perdana menteri sebelum ini Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin.

“Hamzah Zainuddin dan Hishammuddin (Hussein) juga ada permainan di belakang Zahid. Ahli Parlimen Umno juga lompat ke Bersatu sebelum ini dengan syarat tidak adil.

“Kembali kepada sejarah. Ketika pentadbiran Dr Mahathir, ahli Parlimen Umno tidak tunjuk kesetiaan mereka kepada parti,” kata Nur Jazlan.

Zahid yang juga ahli Parlimen Bagan Datoh berkata demikian selepas Anwar mengumumkan beliau mempunyai sokongan majoriti yang kukuh dan meyakinkan untuk membentuk kerajaan.

Bekas timbalan perdana menteri berkata beliau dimaklumkan bahawa ramai ahli Parlimen Umno/BN menyatakan sokongan kepada Anwar dan beliau menghormati keputusan mereka.

Timbalan Pengerusi Umno Johor Nur Jazlan Mohamed berkata kenyataan presiden Umno hanya untuk membersihkan parti daripada pembelotan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 September, 2020.

Pengarah eksekutif Ilham Centre Mohamad Hisomuddin Bakar berkata ini sudah lama berlaku kerana Zahid memang dikenali sebagai penyokong Anwar ketika pemimpin itu dalam Umno.

Hisomuddin berkata Zahid juga cenderung menyokong Anwar kerana Muhyiddin tidak mengikut syarat Umno dalam membentuk kerajaan Perikatan Nasional.

“Kenyataan terbuka ini boleh diterjemah sebagai Zahid menyokong langkah Anwar. Jika tidak, beliau sudah berdiri teguh di belakang Muhyiddin,” kata Hisomuddin.

Ini disebabkan oleh insiden masa lalu seperti penolakan Umno untuk bergabung dengan Perikatan Nasional secara rasmi dan sabitan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak.

“Zahid mengambil pendirian bahawa BN/Umno bukan sebahagian daripada kerajaan, tetapi akan menyokong kerajaan,” tambah Hisomuddin.

Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata Zahid cenderung menyokong Anwar kerana keengganan Muhyiddin untuk melayan kehendak Umno.

“Zahid pernah bekerja dengan Anwar sebelum ini, Inilah masa untuk beliau. Beliau cuba mendapatkan sokongan Muhyiddin namun tidak berhasil. Beberapa ahli Parlimen Umno juga akan menyokong Anwar,” katanya.

Azizuddin juga berkata Zahid lebih diplomatik dalam membenarkan ahli Parlimennya menyokong Anwar, yang bermakna beliau juga mahu menyokong Anwar.

“Kenyataan Zahid adalah mennjurus kepada Anwar. Sekiranya parti itu menyatakan pendirian dan tidak diikuti ahli Parlimen, ia adalah normal. Umno sudah nyatakan sebelum ini mereka tidak menyokong sepenuhnya Perikatan Nasional, jadi ini sepadan,” katanya.

Felo kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Dr Oh Ei Sun bersetuju dengan perkara ini dan berkata Zahid akan menyertai Anwar sekiranya Umno tidak mendapat apa yang dimahukan dalam kerajaan Perikatan Nasional.

“Anak yang hilang (Zahid) kini sudah kembali ke pangkuan si ayah (Anwar). Itu, dan Muhyiddin yang berani menentang Umno. Nampaknya, minat mereka bertepatan,” katanya.

Semalam, Anwar mengumumkan kerajaan Perikatan Nasional yang diterajui Muhyiddin telah tumbang kerana beliau memiliki sokongan majoriti untuk mengambil alih Putrajaya.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata beliau sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong menerusi panggilan telefon selepas baginda menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN). 

Anwar berkata beliau hanya akan dedahkan jumlah ahli Parlimen yang menyokongnya selepas ia dimaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Tidak lama selepas pengumuman Anwar, DAP dan Amanah mengeluarkan kenyataan menyatakan sokongan terhadapnya.

Bagaimanapun, Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyatakan sokongan kepada Muhyiddin.

DAP mempunyai 42 ahli Parlimen, Amanah (11), PKR (38), Umno (41) dan GPS (18). – 24 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen